Skuad Kasih Sayang Saribas terus aktif dekati rakyat

DEBAK: Jentera Wanita Parti Pesaka Bumi­putera Bersatu (PBB) yang dikenali sebagai Skuad Kasih Sayang di setiap kawasan harus sen­tiasa aktif mendekati rakyat dan bukannya hanya muncul pada waktu pilihan raya.

Saranan itu dinyatakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas, Mohamad Razi Sitam sambil menjelaskan bahawa peranan yang dimainkan oleh setiap ahli skuad tersebut adalah sangat penting dalam memastikan kebajikan rakyat terus dijaga.

“Ahli Skuad Kasih Sayang Wanita PBB Saribas harus sentiasa berada di samping rakyat dan kita tidak mahu ia hanya muncul pada waktu pilihan raya.

“Ini kerana ia akan men­imbulkan tafsiran bahawa penubuhan skuad adalah lebih berunsurkan politik,” katanya pada Program Skuad Kasih Sayang Wanita di Kampung Babu baru-baru ini.

Dalam pada itu, Razi berkata setiap skuad juga ha­rus peka dengan masalah yang dihadapi rakyat di kawasan masing-masing.

Dengan itu, katanya rakyat daripada golongan memer­lukan akan dapat dibantu dengan baik sejajar dengan usaha kerajaan untuk sentiasa dekat dengan rakyat.

“Ahli-ahli skuad perlu kerap turun padang bagi mengesan orang yang memer­lukan bantuan dan membantu mereka dengan segera.

“Ini secara tidak langsung akan memberi impak yang baik kepada rakyat sekali gus menyumbang kepada pem­bangunan negeri,” ujar Razi.

Skuad Kasih Sayang merupakan jentera wanita PBB untuk mendekati rakyat dengan kerjasama ketua kaum dan ketua masyarakat di setiap kawasan.

Penubuhan skuad ini merupakan satu usaha memas­tikan kerajaan sentiasa dekat dengan rakyat selain menun­jukkan kasih sayang kepada masyarakat serta memastikan kebajikan rakyat terus dijaga dan diambil perhatian.

Antara aktiviti dan program yang dianjurkan oleh Skuad Kasih Sayang Wanita Kampung Babu itu adalah pertandingan memasak sayuran dan ulaman.