Extrameal Bintulu ringankan beban penghuni di pusat kuarantin

BINTULU: Atas dasar perikemanusiaan, Extrameal Bintulu menyampaikan sumbangan kepada penduduk yang menjalani kuarantin sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Pusat Kuarantin Similaju National Park.

Pengasas Extrameal Bintulu, Francis Ngu Hown Hua berkata sumbangan yang disampaikan itu adalah merupakan sumbangan kedua iaitu susulan kepada sumbangan di pusat kuarantin terbabit yang telah disumbangkan pada bulan lalu.

“Kita amat memahami situasi pandemik Covid-19 kali ini tidak sama sekali dengan situasi sebelum ini yang rata-rata pesakit yang ditempatkan di Pusat Kuarantin Similajau National Park itu bukanlah individu atau orang senang dan berpendapatan tetap.

“Kebanyakan mereka datangnya daripada pedalaman, tidak semua diantara mereka ada wang untuk membeli makanan, lebih-lebih lagi kawasan itu agak jauh daripada bandar Bintulu, oleh itu kita cuba bantu mereka dengan menyumbangkan sedikit makanan asas serta keperluan lain untuk bekalan mereka di waktu malam,” katanya kepada Sarawak Press Daily hari ini.

Francis berkata sumbangan yang disampaikan itu adalah berupa minuman 3 in 1, air mineral, makanan ringan, biskut dan beberapa lagi kepada penduduk serta pesakit di pusat kuarantin berkenaan.

Katanya lagi sumbangan yang disampaikan itu adalah bertujuan bagi meringankan beban yang dihadapi oleh kesemua 32 pesakit serta 10 kakitangan barisan hadapan (frontliner).

“Diharap dengan sumbangan yang disampaikan ini dapat memberi manfaat dan meringankan beban untuk mereka,” ujarnya.

Francis turut mengucapkan penghargaan terima kasih kepada rakan-rakan serta individu yang telah bersama-sama menyumbang kepada pesakit di pusat kuarantin terbabit.

“Kami ucapkan ribuan terima kasih kepada rakan-rakan dan individu yang telah bersama-sama menyumbang, semoga kita semua dilindungi daripada musibah Covid-19, dan sama-sama berdoa agar pandemik ini terhapus di muka bumi ini,” tegasnya lagi.

Dalam pada itu Francis juga turut melahirkan rasa terima kasih kepada pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang telah memudahkan segala urusan penghantaran barang keperluan dan makanan kepada penghuni di Pusat Kuarantin Similaju National Park.