60 set makanan diagihkan untuk mangsa banjir

ROBAN: Sejumlah 60 set makanan telah diagihkan kepada penduduk Rumah Anta Jelupang Atas Roban, baru-baru ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Saratok Nazry Mohamat berkata, pek makanan tersebut adalah sumbangan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Saratok.

“Sumbangan tersebut adalah untuk mangsa-mangsa yang terjejas akibat banjir yang melanda rumah panjang tersebut, baru-baru ini.

“Pihak kita dimaklumkan pihak JKM Saratok bahawa rumah panjang terbabit dihuni seramai 119 penduduk.

“Dalam program ini, pihak bomba hanya terlibat dalam membantu menghantar bantuan tersebut kepada penduduk,” katanya kepada media di sini, kelmarin.

Tambahnya, dengan bantuan itu diharap ia dapat meringankan beban yang ditanggung penduduk yang terjejas akibat banjir.

Dalam perkembangan lain, Nazry turut menasihatkan penduduk tinggal di kawasan rendah yang berisiko dinaiki air agar sentiasa berwaspada.

“Langkah ini amat penting dalam memastikan keselamatan nyawa serta harta benda mereka.

“Dalam masa yang sama, kita berharap agar mereka dapat menyimpan segala dokumen penting di tempat yang selamat dan menghubungi pihak bomba dengan segera sekiranya timbul situasi kecemasan,” tegas beliau.