SK Spaoh guna kaedah ‘Drive Thru’ bagi penyerahan buku teks, elak penularan COVID-19

SPAOH: Bagi mengekang penularan Covid-19, Sekolah Kebangsaan (SK) Spaoh menggunakan kaedah pandu lalu (drive thru) bagi penyerahan buku teks mengikut norma baharu kepada pelajarnya semalam.

Guru Besar SK Spaoh, Rabia Haji Andom berkata umum ketahui bahawa pengagihan buku teks 2021 giat dijalankan di kebanyakan sekolah berikutan sesi persekolahan secara bersemuka mahupun Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang telah bermula 20 Januari lalu.

Sehubungan itu, bagi memastikan kelancaran proses ini, SK Spaoh buat julung kalinya mencipta kelainan tersendiri dengan mengetengahkan konsep pandu lalu.

“Pendekatan itu bagi mengurangkan pergerakan ibu bapa di kawasan sekolah lebih-lebih dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ketika ini.

“Pihak sekolah telah memaklumkan tarikh lebih awal kepada penjaga terlibat di mana mereka perlu datang mengikut masa ditetapkan sekali gus untuk elakkan kesesakan pada satu-satu masa.

“Hanya ibu bapa dan penjaga sahaja dibenarkan datang dan mereka tidak perlu turun dari kereta kerana ia diuruskan sepenuhnya guru terlibat termasuk memasukkan set buku teks ke dalam kereta serta motosikal,” katanya kepada Sarawak Press Daily semalam.

Rabia berkata idea dan konsep secara pandu lalu itu diilhamkan sendiri pihak pengurusan sekolah.

“Kami menetapkan tempoh dua hari untuk kerja-kerja pengagihan buku teks ini mengikut tingkatan yang bermula pagi hingga petang.

“Maklum balas daripada ibu bapa amat positif di mana mereka menghargai usaha ini kerana lebih mudah tanpa perlu keluar dari kereta dan turun dari motosikal,” ujarnya.