Datus United sedia hadapi SUFC II esok

PASUKAN bola sepak Datus United akan mengadakan perlawanan persahabatan menentang pasukan Sarawak United ll di Stadium Sarawak, kira-kira jam 3 petang esok (Sabtu).

Pengurus pasukan Datus United, Awang Putra Yusri Awang Redzuan berkata skuadnya itu kini sudah merangka persiapan bagi menghadapi tentangan skuad yang akan beraksi di Liga M3 musim ini.

“Pembentukan skuad mantap menerusi aksi perlawanan persahabatan ini dengan gandingan pemain berwibawa dan tempatan berpengalaman, mampu meletakkan skuad Datus United berada di landasan terbaik untuk memberikan saingan sengit menjelang aksi Liga Sri Aman 2021 yang akan bersambung pada bila-bila masa.

“Saya harap perlawanan persahabatan ini mampu menjadi medan ujian terbaik kepada barisan jurulatih serta pemain memperkemaskan pasukan bagi membentuk satu gandingan serta keserasian dan corak permainan diantara mereka,” katanya sambil menambah barisan ‘ubi muda’ Sarawak United II pasti sebuah pasukan yang hebat dan agresif.

Awang Putra Yusri mahukan para pemain untuk mendapat pendedahan yang secukupnya. Beliau menginginkan para pemain untuk menunjukkan aksi cemerlang mereka dalam aksi perlawanan persahabatan ini.

“Penting bagi pasukan Datus United untuk memperbaiki segala kelemahan dalam pasukan bagi memastikan kita berada dalam keadaan terbaik sebelum Liga Sri Aman 2021 bersambung semula nanti,” ujar beliau.

Mengulas mengenai perkembangan latihan pasukan, Awang Putra Yusri berpuas hati, namun mengharapkan prestasi pemain dapat ditingkatkan.

“Secara keseluruhan saya berpuas hati, tetapi pemain kena tingkatkan prestasi bukan hanya dalam perlawanan persahabatan, namun saya mahu prestasi tersebut terus kekal sehingga sepak mula Liga Sri Aman nanti,” katanya skuad Datus United dikendalikan oleh Ketua Jurulatih, Sufian Ibrahim.

Sementara itu, Datus United musim ini diperkuatkan dengan beberapa pemain bertaraf bintang seperti bekas pemain Sarawak, Mohd Hafiz Abu Bakar, Morris Nyalu, dua lagenda Bujang Senang, Ramos Sari dan Ramles Sari serta tiga bekas pemain Kuching FA, Remenor Pit, Affyshahrul Affendi dan Paul Sambang.