KSM Shell sedia kemudahan internet untuk PdPR

SIMANGGANG: KSM Shell Sri Aman mengambil inisiatif dengan menyediakan kemudahan internet dan mencetak bahan pembelajaran kepada pelajar dan ibu bapa sepanjang proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Usaha ini dilakukan bagi membantu ibu bapa yang yang kurang berkemampuan untuk mendapatkan perkhidmatan internet semasa tempoh PDPR dilaksananakan.

Pengurus KSM Shell Sri Aman, Kho Miang Hua menyatakan ini adalah usaha pihak Shell dengan kerjasama KSM Shell bagi membantu pelajar-pelajar dan juga ibu bapa semasa tempoh PDPR.

Tambahan lagi katanya, sewaktu Perintah Kawasan Pergerakan Bersyarat (PKPP) ketika ini, usaha seperti ini semenangnya perlu bagi memberi akses internet percuma kepada golongan pelajar yang memerlukannya.

“Inisiatif ini diambil bagi memastikan semua anak-anak terutama yang terdiri daripada keluarga berpendapatan rendah, yang berada dikawasan luar bandar dan B40 tidak keciciran dalam pelajaran.

“Bukan semua ibu bapa pelajar di sini mampu untuk menyediakan kemudahan internet kepada anak mereka dan dengan adanya usaha ini diharapkan mampu mengurangkan beban mereka dalam meneruskan kelangsungan hidup,” katanya kepada Sarawak Press daily Online semalam.

Kho Miang Hua berkata setiap ibu bapa serta pelajar yang datang ke stesyen minyak yang mengikuti PdPR perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Beliau berkata pada saat kehadiran ibu bapa dan pelajar, mereka perlu mengambil rekod suhu badan serta direkodkan oleh pekerja Shell serta hanya empat pelajar dibenarkan dalam satu masa bagi mengikuti PdPR di tempat yang disediakan itu.

“Kemudahan ini akan dibuka sepanjang tempoh PDPR bermula dari jam 6.30 pagi sehinggan 8.30 malam secara percuma.

“Murid-murid yang berumur di bawah 12 tahun ke bawah mesti ditemani oleh penjaga dan ibu bapa. Ini selaras dengan SOP yang telah ditetapkan iaitu menjaga jarak dan mengurangkan kesesakan,” ujar Kho Miang Hua.