Datus United cipta keserasian pemain melalui perlawanan persahabatan

PRESTASI pasukan Datus United dilihat semakin meningkat berdasarkan beberapa siri perlawanan persahabatan yang diadakan baru-baru ini, terutamanya menentang Sarawak United ll yang berkesudahan seri 1-1 di Stadium Sarawak.

Pengurus pasukan Datus United, Awang Putrayusrie Awang Redzuan berkata, anak buahnya kini dilihat mempamerkan semangat dan disiplin yang tinggi dengan mampu mengikat skuad Sarawak United ll pada perlawanan persahabatan di Stadium Sarawak, petang semalam.

Awang Putrayusrie

“Ya, kita akui memang ada beberapa peningkatan dalam corak permainan berbanding persembahan mereka (pemain) pada beberapa aksi persahabatan yang diadakan di sini baru-baru ini.

“Biarpun sekadar mengikat keputusan seri menentang Sarawak United ll, Ahad lalu, saya yakin keputusan itu tetap menjadi satu pencapaian positif dan memberangsangkan,” katanya kepada Sarawak Press Daily Online hari ini.

Malah katanya, banyak perubahan dalam pasukan itu terutama dari aspek peningkatan prestasi dan persefahaman antara pemain menjadi faktor penting dalam usaha mereka membentuk skuad mantap menjelang saingan Liga Sri Aman 2021 musim ini yang bakal disambung semula pada bila-bila masa.

Beliau turut menyifatkan barisan pemain kini dalam keadaan terbaik dan cukup bersedia untuk kembali memulakan saingan Liga Sri Aman 2021 selepas menilai empat aksi perlawanan persahabatan yang diharungi setakat ini.

“Keputusan beberapa aksi persahabatan yang telah dilalui sebelum ini, bukanlah menjadi ukuran utama, tetapi sekurang-kurangnya kita dapat menilai tahap kecergasan barisan pemain selepas lebih sebulan tidak beraksi di atas padang dan nyata kemampuan pasukan tidak menghampakan setakat ini.

“Saya boleh katakan, apa yang telah mereka lakukan dalam latihan selama ini termasuklah latihan secara kendiri, berjaya dipraktikkan dengan baik atas padang dan sememangnya kami sudah cukup bersedia untuk kembali beraksi,” ujarnya skuad itu dikendalikan oleh Ketua Jurulatih, Sufian Ibrahim.

Setakat ini, kata Awang Putrayusrie lagi tiada kecederaan serius yang melanda setiap pemain dan untuk itu, mereka perlu sentiasa berwaspada dalam setiap perlawanan persahabatan selepas ini bagi mengelak perkara yang tidak diingini berlaku ini.

Pemain juga katanya diminta agar sentiasa mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dalam apa-apa urusan seharian bagi mengawal penularan COVID-19.

“Cuma apa yang saya harapkan pemain tahu apa yang perlu dilakukan mereka untuk mengekalkan prestasi terbaik dan perlu memastikan tiada kecederaan yang akan berlaku menjelang saingan sebenar Liga Sri Aman 2021 yang akan disambung semula kelak.

Sementara itu, pada perlawanan persahabatan yang diadakan itu, Datus United diperkuatkan beberapa pemain bintang terdiri daripada bekas pemain Sarawak, Mohd Hafiz Abu Bakar, Morris Nyalu, tiga bekas pemain Kuching FA, Remenor Pit, Affyshahrul Affendi, Paul Sambang dan bekas pemain Piala Presiden Sarawak, Abang Nur Afirman dan Jimmy Engai.

Beliau turut berkesempatan merakamkan terima kasih kepada HMN Nadhir Sdn Bhd kerana telah menyumbang kelengkapan jersi kepada Datus United dalam perlawanan persahabatan menentang Sarawak United ll petang semalam.