Loji Air Debak wajar dinaik taraf- Razi

DEBAK: Loji Rawatan Air Debak wajar dinaik taraf memandangkan keperluan yang meningkat di daerah debak dan kawasan sekitarnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas, Mohamad Razi Sitam berkata loji yang sedia ada hanya berkapasiti 1 juta sehari (MLD) sahaja sejak ia mula dibina pada tahun 1983.

“Loji terbabit tidak pernah dinaik taraf sehingga sekarang, di mana keperluan penduduk yang semakin meningkat sehingga ke era tahun 2021 ini.

“Maka adalah wajar daerah Debak ini di bina sebuah loji yang lebih besar bagi menampung keperluan air di daerah Debak dan sekitarnya seperti Spaoh dan Pusa,” katanya ketika melakukan tinjauan di Loji Rawatan Air di Spaoh dan Debak baru-baru ini.

Razi berkata dengan menaik taraf sebuah loji yang berkeupayaan membekal 1 juta MLD kepada 5 juta MLD, ia berupaya akan menjadi penyelesaian jangka masa panjang di sekitar daerah debak amnya.

“Perkara ini telah disuarakan saya semasa perjumpaan dengan wakil Jabatan Kerja Raya Sarawak bagi membangkitkan perkara ini untuk tindakan, malah masalah ini pernah disuarakan sata di dalam sesi persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak sebelum ini,” ujarnya.

Razi sangat berharap agar cadangan menaik taraf loji ini dapat dipertimbangkan oleh Kerajaan Sarawak melalui pentadbiran Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak.

Katanya beberapa bulan ini penduduk daripada beberapa buah kampung terkesan ekoran masalah air yang seperti tiada berpenghujung.

Antara kampung yang terlibat adalah Kampung Bungin, Serembang, Manggut, Supa dan Medang di daerah spaoh, Kampung Tuie dan Serabang di daerah Pusa serta Rumah Panjang Jerai dan Rumah Blassau di daerah debak.