Skuad bawah 25 tahun Sri aman dibentuk

SKUAD Sri Aman bawah 25 tahun telah dibentuk bagi menghadapi saingan Piala Liga Piala SSC/FAS Bawah 25 tahun yang akan menyingkap tirainya pada 13 Mac nanti.

Pengurus Pasukan Sri Aman, Awang Putrayusrie Awang Redzuan berkata sekitar 100 pemain telah menyertai sesi pemilihan yang dijalankan selama dua hari di dua lokasi berbeza iaitu Kompleks Sukan Sri Aman dan Padang KPSU Lama Sri Aman.

Katanya, daripada jumlah 100 pemain yang hadir menyertai sesi pemilihan itu, seramai 20 pemain yang berbakat dan berpotensi telah terpilih untuk menyarung jersi pasukan Sri Aman FA.

“Kualiti hampir sama pemain yang diuji `memeningkan kepala’ panel pemilih membuat pilihan pada pemilihan skuad Sri Aman bawah 25 tahun, di mana 100 pemain yang hadir, hanya 20 pemain yang dimuktamadkan untuk diserap masuk ke pasukan ini.

“Sesi pemilihan itu telah memperuntukkan tempoh dua hari untuk memilih 20 pemain untuk disenaraikan membawa cabaran pasukan muda bahagian Sri Aman itu kelak,” katanya kepada Sarawak Press Daily Online hari ini.

Awang Putrayusrie berkata pihaknya telah melantik tiga ahli panel khas bagi pemilihan skuad bawah 25 tahun Sri Aman iaitu Ramos Sari, Ramles Sari dan Sufian Ibrahim.

Beliau menjelaskan kehadiran hampir 100 pemain yang hadir itu menunjukkan terdapat ramai pemain muda yang berpotensi tinggi untuk diketengahkan.

“Sambutan daripada pemain yang hadir pada sesi pemilihan itu sunggu luar biasa, di sini kita dapat lihat betapa ramainya pemain-pemain muda bahagian Sri Aman yang berpotensi dan berbakat telah memberi komitmen yang tinggi sepanjang pemilihan itu berlangsung,” ujarnya.

Jelas Awang Putrayusrie, aspek disiplin dan komitmen pemain amat ditekankan dalam usaha untuk memantapkan barisan pemain muda yang terdiri daripada gabungan pemain import dan tempatan skuad Sri Aman.

“Kita ingin membakar semangat pemain sekali gus membangunkan pasukan Sri Aman dalam saingan kejohanan bola sepak berprestij itu.

“Ia sekaligus dengan sasaran berada di kelompok empat terbaik di pusingan akhir di Bintulu nanti, ia merupakan petanda positif bagi mengembalikan zaman kegemilangan Sri Aman dalam arena bola sepak bahagian ini,” katanya.

Awang Putrayusrie turut merakamkan terima kasih kepada pihak FASA terutamanya kepada Presiden, Datuk Francis Harden Hollis kerana telah memberi kepercayaan serta mandat yang diberikan kepada beliau bagi menggalas tugas sebagai Pengurus Pasukan Sri Aman FA dalam kempen Piala Liga Piala SSC/FAS Bawah 25 tahun yang akan bermula 20 Mac ini.

Turut hadir ialah Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) merangkap Timbalan Presiden FASA, Abdillah Majid.