Gandingan ‘Tiga serangkai’ nafas baharu skuad Sri Aman

GANDINGAN tiga serangkai yang diketuai Sufian Ibrahim dan penolongnya, Ramos Sari serta Ramles Sari bergabung idea untuk merencana strategi terbaik buat pasukan Sri Aman menjadi pasukan lebih mantap bagi menghadapi saingan Piala Liga Piala SSC/FAS Bawah 25 tahun yang akan menyingkap tirainya pada 13 Mac nanti.

Pengurus Pasukan Sri Aman, Awang Putrayusrie Awang Redzuan berkata barisan kejurulatihan serta pengurusan telah dilantik sebaik sahaja senarai pemain telah dimuktamadkan pada sesi pemilihanan yang berakhir Ahad lalu.

“Saya sebagai pengurus pasukan Sri Aman bawah 25 tahun telah melantik Sufian Ibrahim sebagai ketua jurulatih dengan dua lagenda bola sepak Sarawak iaitu Ramos Sari dan Ramles sebagai penolong jurulatih bagi memantapkan strategi terbaik bagi menghadapi kejohanan berprestij musim ini,” katanya kepada Sarawak Press Daily Online semalam.

Awang Putrayusrie berkata beliau percaya tiga gandingan serangkai jurulatih itu mampu menyumbang kejayaan pasukan bandar Merpati Putih itu dengan reputasi sebagai pasukan terbaik di kejohanan itu kelak.

“Pastinya kehadiran ketiga-tiga jurulatih berpengalaman itu mempunyai aura tersendiri untuk mengadun pasukan musim ini untuk merealisasikan sasaran empat kelompok terbaik seperti yang disasarkan oleh pengurusan pasukan sebelum ini.

“Sekaligus, dengan kehadiran bekas bekas pemain Malaysia dan Sarawak (Ramles dan Ramos) dalam pasukan ini, ia mampu menjadi inspirasi atau idola kepada pemain untuk melangkah ke peringkat lebih tinggi selepas ini,” tambah beliau lagi.

Dengan titik permulaan ini, kata Awang Putrayusrie adalah menjadi satu impian dan harapan agar usaha ini berjaya mengangkat kegemilangan bola sepak Sri Aman amnya.

Beliau turut menuntut komitmen seratus peratus harus diberikan oleh setiap pemain yanh dipilih setiap sesi latihan yang diberikan oleh barisan jurulatih.

“Saya berharap pemain baharu yang dipilih untuk mewakili pasukan Sri Aman ini dapat menyesuaikan diri secepat mungkin bagi mendapat rentak yang diperlukan dalam mengekalkan momentum serta kejayaan pasukan ini kelak,” ujarnya lagi.

Awang Putrayusrie mengingatkan pemain skuad Sri Aman supaya dapat patuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan bagi memastikan latihan dapat berjalan tanpa sebarang gangguan.

Beliau turut mengingatkan pemain supaya terus kekal disiplin dan cepat menguasai corak latihan yang bakal diterapkan barisan jurulatih dalam situasi normal baharu ketika negara masih lagi berdepan dengan krisis wabak pandemik Covid-19.