RC United fokus pembangunan akar umbi- Raymond

PEMBANGUNAN bola sepak di peringkat akar umbi menjadi fokus utama Presiden Kelab Bolasepak Rimong Crocs United (RC United), Raymond Lori.

Menurutnya, usaha itu penting untuk memastikan Bahagian Sri Aman mampu menghasilkan ramai pemain berkualiti dapat menaikkan mutu terutamanya dalam penganjuran liga serta pertandingan lain melibatkan bola sepak di bahagian ini.

“Antara fokus utama Kelab Bolasepak RC United selain penganjuran pertandingan dan bengkel, perlunya juga kita merancakkan program pembangunan memfokuskan pemain-pemain berumur bawah 17 tahun.

“Selain itu juga, RC United turut memfokuskan kepada program pembangunan bagi jurulatih bola sepak muda di peringkat akar umbi dalam usaha mendukung serta memberi galakan kepada para pemain untuk turut menyumbang balik kepada sukan popular,” katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat Agung tahunan (AGM) dan pemilihan ahli jawatankuasa Penubuhan Kelab Bola Sepak RC United dekat sini baru-baru ini.

Sementara itu, Raymond berkata Kelab Bolasepak RC United telah didaftarkan sebagai sebuah Badan Sukan secara rasmi dibawah Akta Pembangunan Sukan 1997 (ROSA) pada
5 Februari 2021 dengan nombor pendaftaran C-SWK-10737.

Pendaftaran Kelab Bolasepak RC United ini atas inisiatif beliau serta ahli-ahli lain bagi tujuan pembangunan bola sepak diperingkat akar umbi khususnya di kawasan Sri Aman.

“Dengan tertubuhya Kelab Bolasepak RC United ini, pihak kelab akan berusaha untuk membentuk pengurusan kelab yang terbaik dan mantap bagi meralisasikan hala tuju dan misi kelab dalam mewujudkan satu ekosistem pembangunan bola sepak yang sistematik dan menyeluruh ke arah meningkatkan kuantiti dan kualiti pemain dalam memartabatkan sukan bola sepak di daerah Sri Aman amnya dan Saratok khususnya,” ujarnya.

Jelas Raymond lagi, pihak kelab akan berusaha mencari dana dari semua pihak untuk menggerakkan kelab dan mengadakan pelbagai aktiviti pembangunan bola sepak dan kursus kejurulatihan serta pengadil.

Beliau juga meminta kerjasama semua ahli-ahli kelab yang telah dilantik termasuk semua pihak berkepentingan dalam industri bola sepak mencakupi kelab-kelab, persatuan dan sebagainya bergabung tenaga dan kerjasama dalam memastikan objektif RC United tercapai.

Raymond turut menyeru agar mana-mana pihak yang ingin tampil membantu serta menyumbang dana bagi penganjuran aktiviti dan program Kelab Bola Sepak RC United bolehlah menghubungi pihak kelab ditalian 014-698 2405 (Raymond).

Terdahulu, dalam Mesyuarat Agung tahunan (AGM) dan pemilihan ahli jawatankuasa Penubuhan Kelab Bola Sepak RC United, Raymond Lori dipilih sebagai Presiden, manakala Johnny Siam dipilih sebagai Timbalan Presiden RC United.

Manakal Setiausaha pula dipikul tanggungjawab oleh Jikin Kombong, sambil dibantu oleh Kennedy Douglas Koria sebagai Timbalan Setiausaha, dan Charoline Alexander sebagai bendahari Kelab RC United.