Sarawak United sedia buru tiga mata

PASUKAN Sarawak United kini bersiap sedia bagi memburu tiga mata penuh apabila turun menentang Perak II dalam kempen Liga Premier 2021 di Stadium Ipoh, petang ini.

Dengan rekod kemenangan 2-0 ke atas Kelantan United Ahad lalu, pasukan kendalian E Elavarasan yakin misi melakar kemenangan kedua berturut-turut ke atas skuad berpangkalan di Lembah Klang itu mampu direalisasikan.

Pengurus Sarawak United, Abang Suhordie Abang Zaini berkata, kemenangan 2-0 menentang Kelantan United Ahad lalu, merupakan satu permulaan yang baik dan langkah kanan walaupun kebanyakan pemain belum cergas sepenuhnya yang mana hanya sempat menjalani latihan selama dua minggu.

“Strategi dan pelan yang dirancang oleh E Elavarasan berjaya diterjemahkan oleh pemain sepanjang 90 minit perlawanan serta menunjukkan aksi yang amat baik terutamanya bahagian pertahanan yang diketuai ketua pasukan, Tylor Regan.

“Kejayaan mengutip tiga mata sulung turut memberi motivasi untuk memastikan kejayaan ini berterusan apabila bertemu Perak II petang ini,” katanya kepada Sarawak Press Daily Online semalam.

Abang Suhordie berkata, adalah penting untuk para pemain tidak terus dibuai kemenangan lalu kerana setiap perlawanan menjanjikan rentak dan suasana yang berbeza.

“Pemain-pemain disaran tidak berasa selesa atau terus dibuai mimpi indah dengan kemenangan yang diperolehi malam Ahad lalu serta perlu mempertingkatkan momentum untuk perlawanan seterusnya Stadium Ipoh, petang ini.

“Perjalanan pasukan ini masih panjang kerana ini baharu perlawanan pertama. Pemain kena sedar perjalanan kita bukan senang dan ada perlawanan sukar yang perlu ditempuhi,” ujarnya.

Mengenai perkembangan penyerang import dari Brazil, Sandro da Silva, ujarnya pemain itu belum cergas sepenuhnya memandangkan hanya sempat menjalani latihan bersama pasukan selama empat hari.

“Sandro hanya sempat bersama pasukan selama empat hari sebelum perlawanan menentang Kelantan United tempoh hari, ditambahkan lagi terpaksa menjalani kuarantin selama 14 hari, namun dia tetap memberi persembahan yang baik walaupun diturunkan di hujung perlawanan separuh masa kedua,” jelasnya.

Dalam pada itu, penyerang Malaysia, Norshahrul Idlan Talaha (Mat Yo) tetap menjadi sandaran Elavarasan untuk mengetuai jentera serangan Sarawak United pada aksi menentang Perak II petang ini.