JKKK Kampung Hilir Beladin santuni 32 warga emas

BELADIN: Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Hilir Beladin telah menyantuni seramai 32 warga emas dekat sini semalam.

Ketua Kampung Hilir Beladin, Majenah Kiong berkata, seramai 32 orang warga emas telah dibantu dengan penyampaian sumbangan bantuan bakul makanan kepada mereka yang memerlukan.

“JKKK Kampung Hilir Beladin telah menyatuni 32 orang warga emas yang terdiri daripada golongan yang memerlukan atau kumpulan sasar dalam misi menyampaikan sumbangan dan bantuan kepada golongan itu.

“Melalui program sumbangan ini, ia sekaligus dapat meringankan beban kepada golongan sasar di Kampung Hilir Beladin dan juga kawasan sekitarnya.

“Ini adalah merupakan inisiatif Ketua Kampung dan JKKK Kampung Hilir Beladin untuk membantu golongan sasar yang telah terjejas semasa penularan Covid-19,” katanya.

Menurut Majenah, JKKK juga mempunyai peranan penting dalam sesebuah kampung serta menjaga kebajikan, keselamatan dan perpaduan dalam sesebuah kampung.

“JKKK juga menasihati orang ramai supaya sentiasa mengamalkan budaya baharu serta mematuhi arahan dan Prosedur Operasi Standard (SOP) dalam menghadapi penularan wabak Covid-19.

“Sehubungan itu, JKKK juga sentiasa memantau setiap masalah yang dihadapi penduduk kampung dan sedaya upaya untuk membantu dan memberi perkhidmatan terbaik kepada penduduk kampung,” ujarnya.

Dalam pada itu, penduduk kampung berkesempatan merakamkan terima kasih kepada JKKK Kampung Hilir Beladin kerana sudi memberi sumbangan kepada warga emas yang memerlukan.