Mahu setiap pemain bekerja keras dalam latihan dan perlawanan sebenar

SETELAH seminggu mendidik pemain skuad Sri Aman, tiga jurulatih serangkai, Sufian Ibrahim, Ramos Sari dan Ramles Sari berpuas hati dengan respons yang ditunjukkan oleh para pemain.

Malah menurut mereka, para pemain menunjukkan peningkatan dari segi teknikal dan kecergasan.

“Alhamdulillah… pemain dapat menerima corak latihan kami bertiga,” ujar Ketua Jurulatih, Sufian Ibrahim yang ditemui Sarawak Press Daily Online semasa mengendalikan sesi latihan skuad Sri Aman bawah 25 tahun di Kompleks Sukan Sri Aman petang tadi.

Yang pasti, Sufian yang dibantu oleh Ramos dan Ramles itu menitikberatkan aspek kecergasan. Mereka mahu setiap pemain berada pada tahap kecergasan maksimum.

“Saya mahu setiap pemain bekerja keras, bukan sahaja ketika latihan, malah ketika perlawanan sebenar nanti… saya mahu pemain sentiasa bergerak, bukannya menunggu bola,” tegas Sufian.

Menurutnya lagi, masih terlalu awal untuk membuat penilaian 11 calon yang akan mengisi slot kesebelasan utama.

Oleh itu, beliau mahu memastikan semua pemain cergas sepenuhnya, sebelum Liga Piala SSC/FAS Bawah 25 tahun bermula pada 20 Mac nanti, sambil menyifatkan kombinasi pemain import dan tempatan Sri Aman dilihat semakin serasi dan bersedia untuk beraksi pada bila-bila masa.

“Kombinasi pemain juga semakin serasi. Saya rasa kita sudah bersedia untuk beraksi. Cuma sekarang ini, masih ada kelemahan yang perlu diperbaiki untuk memantapkan pasukan,” ujarnya.

Beliau berkata, latihan telah berjalan seperti biasa dan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa.

Menurut Sufian, mereka akan mencari pasukan sesuai di sekitar Sri Aman untuk dijadikan rakan ‘sparring’ dalam aksi persahabatan dalam masa terdekat ini.

Terdahulu, Pengurus Pasukan Sri Aman, Awang Putrayusrie Awang Redzuan percaya tiga gandingan serangkai jurulatih itu mampu menyumbang kejayaan pasukan bandar Merpati Putih itu dengan reputasi sebagai pasukan terbaik di kejohanan itu kelak.

“Pastinya kehadiran ketiga-tiga jurulatih berpengalaman itu mempunyai aura tersendiri untuk mengadun pasukan musim ini untuk merealisasikan sasaran empat kelompok terbaik seperti yang disasarkan oleh pengurusan pasukan sebelum ini.

“Sekaligus, dengan kehadiran terutamanya bekas bekas pemain Malaysia dan Sarawak (Ramles dan Ramos) dalam pasukan ini, ia mampu menjadi inspirasi atau idola kepada pemain untuk melangkah ke peringkat lebih tinggi selepas ini,” tambah beliau lagi.

Dengan titik permulaan ini, kata Awang Putrayusrie adalah menjadi satu impian dan harapan agar usaha ini berjaya mengangkat kegemilangan bola sepak Sri Aman amnya.