Julang nama Sri Aman

SKUAD Sri Aman bawah 25 tahun yang akan menghadapi Liga Piala SSC/FAS musim ini, diharapkan membawa pulang kejayaan dan sekaligus mengharumkan nama Sri Aman amnya.

Pegawai Khas (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) kepada Timbalan Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Alexander Frusis berkata dengan kejayaan yang diraih itu nanti, ia sekaligus mampu mengembalikan semula kegemilangan bola sepak di Simanggang ini.

Beliau turut menasihati pemain-pemain yang disandarkan dalam skuad Sri Aman untuk menerapkan semangat juang yang tinggi dalam saingan Liga Piala SSC/FAS itu kelak.

“Pemain-pemain yang dipilih ini mestilah menunjukkan semangat juang tinggi untuk membawa kejayaan kepada pasukan Sri Aman, dengan pengurusan pasukan baharu pasukan diketuai oleh Pengurus pasukan, Awang Putrayusrie Awang Redzuan yang telah diamanahkan oleh Persatuan Bola Sepak Bahagian Sri Aman (FASA) ini, saya percaya bahagian Sri Aman kini sudah berada dalam landasan terbaik untuk mengembalikan semula zaman kegemilangan sukan bopa sepak terutamanya di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melakukan tinjauan di kem latihan skuad Sri Aman di Kompleks Sukan Sri Aman semalam.

Alexander berkata beliau difahamkan skuad Sri Aman musim ini telah mendapat khidmat dua lagenda sukan bola sepak Malaysia dan Sarawak, Ramos Sari dan Ramles Sari sebagai jurulatih pasukan Sri Aman bawah 25 tahun.

“Ini merupakan satu perkembangan yang menarik, dan saya berharap pemain muda Sri Aman harus memanfaatkan sebaiknya peluang ini dengan sebaiknya ‘berguru’ dengan pemain yang pernah mewakili Malaysia dan mengharumkan nama Sarawak dipersada negara satu ketika dahulu,” ujarnya.

Dengan itu jelas Alexander sudah tiba masanya bahagian Sri Aman mempersiapkan diri kepada pembangunan bola sepak bermula di peringkat akar umbi bagi melahirkan lebih ramai pelapis untuk diserapkan ke dalam pasukan negeri satu hari nanti.

“Dengan titik permulaan dan usaha yang dilakukan ini nanti, saya percaya bahagian Sri Aman menjadi sebuah daerah yang memiliki pemain-pemain muda berkualiti dan sekaligus mampu membentuk pasukan yang mantap dan mampu mengangkat kegemilangan bolasepak Sri Aman amnya,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Alexander turut berkesempatan menyampaikan sumbangan kewangan yang disumbangkan oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal kepada pengurusan pasukan Sri Aman bawah 25 tahun.

Turut hadir ialah Penolong Pengurus pasukan Sri Aman, Alfian Abu Bakar dan Kelvin Chung.