Skuad Sri Aman FA mula langkah kanan

PERLAWANAN pembukaan Zon Tengah Liga Bolasepak SSC-FAS menyaksikan Sri Aman FA menang tipis 1-0 ke atas Kapit FA di Kompleks Sukan Sri Aman petang tadi.

Penyerang sensasi Sri Aman FA, Mohd Adif Salim muncul sebagai wira apabila meledak jaringan pada minit ke-35 sekaligus memberi kemenangan sulung mereka dilaman sendiri.

Pengurus Pasukan Sri Aman, Awang Putrayusrie Awang Redzuan menyifatkan ia permulaan baik kepada pasukannya berjaya membawa pulang mata penuh seperti yang dihajati sebelum ini.

Beliau juga turut kecewa dengan deretan peluang terhidang yang gagal dimanfaatkan oleh barisan pemainnya sehingga menyebabkan pasukannya hanya mampu menang tipis ke atas Kapit.

“Kecewa dengan peluang yang banyak terhidang, banyak peluang namun gagal disudahkan. Nampaknya saya perlu mengarahkan barisan kejurulatihan bekerja keras lepas ini untuk memastikan pemain menjaringkan gol, dan hanya menjaringkan gol yang akan memberikan kemenangan,” jelasnya.

Awang Putrayusrie berkata babak pertama memperlihatkan anak-anak buahnya beraksi konsisten dan deretan tiga hingga empat peluang untuk menghasilkan gol.

Bagaimanapun katanya, meskipun nampak ‘tertekan’ pada separuh masa kedua para pemain Sri Aman masih mampu memberikan saingan dan melancarkan beberapa cubaan bagi menghasilkan jaringan.

“Dengan kedudukan barisan depan kita yang agak tumpul, kita mempunyai masalah penyudah untuk menciptakan gol walaupun begitu banyak peluang,” ujarnya.

Awang Putrayusrie berkata beliau berharap kemenangan yang dicipta pemainnya pada perlawanan pertama petang tadi akan menjadi pemangkin untuk mereka terus cemerlang dalam mengharungi perlawanan lain selepas ini.

“Kemenangan ini akan menjadi tonik kepada pemain untuk terus cemerlang dalam menghadapi perlawanan selepas ini, terutamanya menentang Sarikei FA minggu depan,” tambah beliau.

Beliau yang turut menyifatkan percaturan ketua jurulatih, Sufian Ibrahim sambil dibantu Ramos Sari dan Ramles Sari mengena sehingga membolehkan pasukan itu menumpaskan Kapit FA yang dilihat beraksi cemerlang.

Turut menyaksikan perlawanan tersebut iaitu Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Francis Harden Hollis, Pengarah Teknikal Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS), David Usop dan Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak Bahagian Sri Aman (FASA), Alfred Kendim.

Skuad Sri Aman FA pada perlawanan kedua selepas ini akan menentang pasukan Sarikei FA pada 3 April (Sabtu) depan.