Sri Aman FA enggan dabik dada terlebih dahulu

PENGURUS Pasukan U25 Sri Aman FA, Awang Putrayusrie Awang Redzuan tidak mahu anak-anak buahnya dibuai dengan kemenangan, sebaliknya mengekalkan prestasi terbaik untuk mengharungi laluan berliku dalam saingan Liga Bolasepak SSC-FAS musim ini.

Kejayaan meraih tiga mata penuh selepas menewaskan Kapit FA 1-0 dalam aksi pertama Sabtu lalu, sebaliknya perlu dijadikan titik tolak kebangkitan dan suntikan semangat kepada skuad “The Sleeping Croc’ itu.

Bagaimanapun, Awang Putrayusrie ternyata gembira dengan prestasi para pemainnya yang mula menampakkan persefahaman untuk membentuk satu pasukan yang mantap.

“Semua pemain menunjukkan suatu persembahan yang terbaik dan mereka layak untuk dapatkannya (kemenangan). Kita mengawal keseluruhan permainan, selain mencipta banyak peluang biarpun hanya berjaya menghasilkan satu gol.

“Ia juga sudah pasti akan meningkatkan tahap keyakinan dan moral kami untuk terus lakukan yang terbaik dalam perlawanan-perlawanan seterusnya selepas ini,” katanya kepada Sarawak Press Daily Online semalam.

Apapun, Awang Putrayusrie mengingatkan anak-anak buahnya agar tidak terlalu terbawa-bawa dengan kejayaan mereka itu, sebaliknya memberi sepenuhnya fokus kepada perlawanan kedua mereka menentang pasukan Sarikei FA pada 3 April (Sabtu) ini.

“Saya harap semua pemain sudah bersedia untuk menghadapi cabaran Sarikei FA, dan saya percaya jika pemain bermain mengikut pelan yang sudah dirancang oleh ketua jurulatih (Sufian Ibrahim, Ramos Sari dan Ramles Sari), saya yakin kami mampu memberikan tentangan yang sengit sekaligus memungut tiga mata seterusnya,” ujar Awang Putrayusrie.

Dalam pada itu, Awang Putrayusrie akui masih terdapat kelemahan di beberapa posisi terutamanya dibahagian serangan, dan berharap pemain segera memperbaiki setiap kesilapan itu.

“Masih banyak kelemahan yang perlu kita perbaiki selepas ini. Ia penting kerana saya tidak mahu ia merencatkan persembahan pemain untuk perlawanan kedua nanti,” tambahnya.