ARMADA Sarawak zahir ucapan terima kasih kepada PM

ANGKATAN Bersatu Anak Muda (ARMADA) Parti Bersatu Sarawak mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Muhyiddin Yassin diatas siri lawatan kerja beliau ke Sarawak pada 1 sehingga 2 April yang lepas.

Ketua ARMADA Sarawak, Alexander Frusis berkata walaupun sibuk dengan urusan rasmi kerajaan, namun komitmen Perdana Menteri ke Sarawak amatlah dihargai.

“ARMADA Sarawak juga ingin menzahirkan ucapan terima kasih kepada Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg serta kepimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang telah menyatakan sokongan padu terhadap Perdana Menteri untuk terus menerajui kepimpinan Negara.

“ARMADA Sarawak percaya, kestabilan politik adalah kunci kejayaan sesebuah Kerajaan untuk terus memberi khidmat yang cemerlang dan memastikan kesejahteraan rakyat terjamin,” katanya dalam satu kenyataan kepada media hari ini.

Dalam masa yang sama, Alexander berkata ARMADA Sarawak menyambut baik usaha Perdana Menteri untuk terus menjaga hak-hak Sarawak dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“ARMADA Sarawak berpendapat, ia dibuktikan melalui usaha yang ditunjukkan oleh Kerajaan Persekutuan dengan mewujudkan jawatankuasa khas pindaan perlembagaan Persekutuan yang akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri sendiri dibawah Kementerian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak.

“Dari sudut kerjasama Politik, ARMADA Sarawak percaya kerjasama diantara GPS dan Perikatan Nasional (PN) adalah sebuah kerjasama yang sangat di nanti-nantikan oleh ahli akar umbi diketika Pilihan Raya Negeri Sarawak akan diadakan pada bila-bila masa,” ujarnya.

Selain itu, jelas Alexander ARMADA Sarawak sekali lagi mengulangi pendirian Perikatan Nasional serta BERSATU Sarawak, untuk membantu GPS dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri dengan kemenangan yang cemerlang.