Banyak kelemahan harus diperbaiki- Sufian

MASIH banyak yang perlu dilakukan pemain untuk mencapai kesempurnaan. Kerja keras dan kerjasama setiap pemain dalam pasukan penting ke arah mencapai matlamat itu,” ungkap ketua jurulatih Sri Aman FA, Sufian Ibrahim walaupun cemerlang di peringkat awal kempen Liga SSC-FAS setakat ini.

Jelasnya lagi, walaupun diakui prestasi serta keserasian diantara pemain menampakkan peningkatan, dan berjaya mengutip enam mata hasil daripada dua perlawanan, beliau tetap berasakan pasukan belum lagi sempurna dan di beberapa posisi perlu diperkemaskan lagi.

Namun Sufian yang dibantu oleh dua Kembar Sari, Ramos dan Ramles Sari itu tetap bersyukur kerana misi memburu kemenangan kedua berturut-turut telah tercapai.

“Sebenarnya memang saya kena melakukan penambahbaikan selepas menilai perlawanan kedua tempoh hari.

“Walaupun kita menang, tetapi dua gol itu dijaringkan pada separuh masa pertama dan selepas itu, kita dah dapat lihat beberapa kelemahan, jadi perkara itu kita perlu perbaiki.

“Pemain sedikit hilang tumpuan terutamanya pada aksi 20 minit terakhir perlawanan disebabkan beberapa insiden kekasaran telah berlaku oleh kedua-dua pasukan, namun pemain kita masih berjaya mengimbangi perlawanan sehingga ke wisel penamat,” katanya kepada Sarawak Press Daily Online hari ini.

Bagaimanapun, Sufian ternyata gembira dengan pencapaian para pemainnya yang mula menampakkan persefahaman untuk membentuk satu pasukan yang mantap.

Apapun, beliau mengingatkan anak-anak buahnya agar tidak terlalu terbawa-bawa dengan kejayaan mereka itu, sebaliknya memberi sepenuhnya fokus kepada perlawanan ketiga mereka di gelanggang lawan menentang pasukan Sibu FA pada 10 April (Sabtu) ini di Kompleks Sukan Bintangor.

“Saya harap semua pemain sudah bersedia untuk menghadapi cabaran Sibu FA, dan saya percaya jika pemain bermain mengikut pelan yang sudah dirancang oleh barisan jurulatih, saya yakin kami mampu memberikan tentangan yang sengit sekaligus memungut tiga mata seterusnya,” ujar Sufian.

Justeru, beliau menuntut pemain fokus dan berharap pemain dapat mengelak daripada melakukan kesilapan mudah pada perlawanan seterusnya.

Dalam pada itu, Sufian akui masih terdapat kelemahan di beberapa posisi pasukannya dan berharap pemain segera memperbaiki setiap kesilapan itu.

“Masih banyak kelemahan yang perlu kita perbaiki selepas ini. Ia penting kerana saya tidak mahu ia merencatkan persembahan pemain untuk perlawanan ketiga nanti,” ujarnya.