Kapit FA temui rentak kemenangan

SKUAD Kapit FA menemui rentak apabila melakar kemenangan 1-0 ke atas skuad Sibu FA dalam saingan Liga SSC-FAS di Mini Stadium Song, Sabtu lalu.

Pemain tengah gantian Kapit FA, Rosicky Stanley menjadi wira pasukannya apabila menjaringkan gol pada minit ke-75 menerusi sepakan penalti pada perlawanan yang memburu misi kemenangan mutlak itu. 

“Kami lega kerana meraih tiga mata penting. Saya akui kami menerima tekanan hebat dan hampir seri atau tewas.

“Saya akui masih banyak kelemahan dalam pasukan kami… dan ia perlu diperbaiki segera,” jelas ketua jurulatih Kapit FA, Pendi Bohari ketika diminta mengulas kejayaan pasukannya membenam kemaraan Sibu FA Sabtu lalu.

Dengan kemenangan tersebut, kata Pendi sedikit sebanyak dapat memperbaiki kedudukan dalam carta Liga SSC-FAS Zon Tengah Sarawak.

“Bagi saya, berapa banyak peluang yang anda cipta bukanlah menjadi keutamaan kami… apa yang lebih penting ialah tiga mata untuk diraih,” tegas Pendi.

Menurutnya, beliau berharap kemenangan pertama yang dicipta pemainnya pada saingan petang Sabtu lalu akan menjadi pemangkin untuk mereka terus cemerlang dalam mengharungi perlawanan lain selepas ini.

“Kemenangan ini akan menjadi tonik kepada pemain untuk terus cemerlang dalam menghadapi perlawanan lain selepas ini terutamanya menanti kunjungan Sarikei FA, Sabtu ini.

“Sekaligus ia bagaikan petanda kebangkitan kami (Kapit FA) selepas ini. Dan diharap ianya akan dapat menjadi inspirasi dan cetusan semangat kepada pemain,” tambah Pendi.

Beliau berharap pemain tidak terus hanyut dengan kemenangan ini dan sentiasa menanam keinginan untuk terus berusaha meningkatkan corak permainan bagi memastikan sasaran utama mereka iaitu dua kelompok terbaik Zon Tengah Sarawak dapat direalisasikan.

Perlawanan ketiga Kapit FA selepas ini akan menanti kunjungan Sarikei FA, Sabtu ini di Stadium Mini Song.