Teruskan momentum kemenangan- Awang Putrayusrie

SKUAD Sri Aman FA bertekad meneruskan momentum kemenangan, sekali gus meraih tiga mata penuh apabila turun menentang Sibu FA dalam saingan Liga SSC-FAS, Ahad ini.

Pengurus pasukannya, Awang Putrayusrie Awang Redzuan berkata kemenangan kedua pasukannya ketika menentang Sarikei FA sebelum ini, menyuntik semangat anak buahnya apabila berdepan pasukan Sibu FA di Kompleks Sukan Bintangor.

Beliau menegaskan bahawa anak buahnya selepas aksi menentang Sarikei FA, Sabtu lalu terus menjalani latihan dan program intensif untuk membaiki jentera serangan dan akan membaiki keyakinan pemain bagi mengharungi baki saingan Liga SSC-FAS 2021.

“Saya akui masalah jentera serangan perlu diperbaiki segera jika mahu memberi saingan kepada lawan. Diharapkan semua pemain terutama penyerang dapat meningkatkan prestasi lebih baik dalam usaha membantu pasukan melakar kemenangan,” katanya kepada Sarawak Press Daily Online semalam.

Selepas dua perlawanan, Sri Aman telah mengutip enam mata hasil daripada dua kemenangan dan berada di kedudukan pertama bagi Zon Tengah Sarawak.

“Jadi pasukan Sri Aman masih lagi terus fokus untuk mengejar impian berada di kedudukan terbaik Zon Tengah Liga SSC-FAS, dan perlu fokus dalam setiap perlawanan. Pemain juga perlu mengekalkan prestasi permainan yang baik bagi mengekalkan rentak kemenangan pada perlawanan seterusnya.

“Untuk itu, tentunya masih ada lagi kekurangan yang perlu diperbaiki, lebih-lebih lagi pada jaringan padang. Kita kena gandakan usaha untuk mendapatkan jaringan padang disamping mempertajamkan lagi serangan. Itu yang kena dititikberatkan dan diperbaiki,” kata Awang Putrayusrie.

Beliau percaya, barisan jurulatih yang diketuai Sufian Ibrahim dan dibantu oleh Ramos Sari dan Ramles Sari itu sudah ada percaturan terbaik bagi menghadapi lawan Sibu FA di Bintangor nanti.

“Fokus utama semua pemain adalah memberi tumpuan pada setiap perlawanan dan mengikut setiap arahan serta percaturan dilakukan jurulatih.

“Apa yang penting adalah memastikan pasukan Sri Aman meraih tiga mata berdepan skuad Sibu FA, dan saya yakin para pemain mampu memberi aksi serta fokus terbaik sepanjang 90 minit di tempat lawan. Selain itu saya juga mahu mereka elakkan kesilapan yang mampu merugikan pasukan,” ujar Awang Putrayusrie.