Misi tiga mata mutlak Kapit FA, petang ini

SKUAD Kapit FA mahu menjadikan kemenangan 1-0 ke atas Sibu FA minggu lalu dalam aksi Liga SSC-FAS sebagai pembakar semangat apabila turun menentang Sarikei FA di Stadium Mini Song petang ini.

Pengendali pasukan Kapit FA, Pendi Bohari berkata anak-anak buahnya berada dalam ‘mood’ terbaik ketika ini selepas berjaya memenangi perlawanan menentang Sibu FA minggu lalu, dan bersedia memberikan 100 peratus komitmen memastikan tiga mata penuh milik pasukan tuan rumah hari ini.

Ketua Jurulatih Kapit FA…Pendi Bohari

“Moral semua pemain kini berada pada tahap tinggi dan sudah bersedia mengharungi perlawanan petang ini. Jelas semangat mereka membuak-buak hasil kejayaan menundukkan Sibu FA 1-0 sebelum ini.

“Apa yang kami harapkan momentum ini dapat diteruskan. Pemain juga diharap dapat fokus sehingga 90 minit perlawanan bagi memastikan sasaran mengutip tiga mata tercapai,” katanya kepada Sarawak Press Daily Online semalam.

Pendi turut mengakui anak buahnya kini berada pada tahap prestasi terbaik selain tidak mengalami sebarang masalah kecederaan dan penggantungan perlawanan.

“Cuma pemain kita mesti berhati-hati perlawanan petang ini, disebabkan pasukan kita telah mengutip empat kad kuning,” ujarnya.

Beliau turut mendedahkan pasukan yang sinonim di panggil Borneo Leorpards itu dijangka melakukan rombakan kecil berdepan Sarikei FA kerana khuatir salah seorang pemain mereka akan menerima kad merah pada perlawanan petang ini.

Pemain sandaran dibahagian jentera serangan Kapit FA

Bagaimanapun Pendi tidak begitu panik sebaliknya percaya pemain yang diturunkan mampu memikul tugas yang diberikan biarpun akui masih mentah pengalaman.

“Saya tiada pilihan selain terpaksa melakukan rombakan kecil berdepan Sarikei FA petang ini, kerana misi kita adalah untuk melakar kemenangan kedua.

“Saya harapkan pemain yang bakal diturunkan nanti bijak menggunakan peluang kerana sedar sudah pasti lawan bakal memberikan tentangan sengit untuk melakar kemenangan sulung mereka,” ujarnya.