Terpaksa akur perlawanan ditunda

KEPUTUSAN Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) menunda tarikh perlawanan Liga SSC-FAS diantara Sibu FA menentang Sri Aman FA, petang semalam sedikit sebanyak memberikan kelebihan kepada kedua-dua pasukan kerana memiliki tempoh rehat serta persiapan lebih lama.

Perlawanan diantara pasukan Sibu FA dan Sri Aman FA yang dijadualkan berlangsung pada petang esok (Ahad) di Kompleks Sukan Bintangor ditunda ke satu tarikh lain yang akan diumumkan kelak disebabkan beberapa faktor yang tidak dapat dielakkan.

Pengurus pasukan Sri Aman, Awang Putrayusrie Awang Redzuan yang terpaksa akur dengan keputusan penundaan tarikh yang dibuat oleh FAS itu menyifatkan ia sebagai medan terbaik kepada pasukannya (Sri Aman FA) mahupun Sibu FA untuk mempertingkatkan intensiti latihan bagi menghadapi aksi lebih kompetitif selepas Hari Raya Aidilfitri nanti.

“Keadaan ini jelas memberi hikmah dan dipandang positif oleh kedua-dua pasukan apabila ia membuka peluang buat mereka untuk meneruskan sesi latihan mantap serta memperkemaskan taktikal pasukan selain berpeluang meletakkan kembali diri di prestasi terbaik.

“Kita perlu menerima berita penangguhan itu dengan nada positif biarpun rata-rata pengurusan pasukan Sri Aman FA sudah pun melakukan persiapan dari segi mental, fizikal pemain, selain pengangkutan, penginapan, tempahan makanan dan banyak lagi, kita harus menghormati keputusan pihak penganjur (FAS),” katanya kepada Sarawak Press Daily Online hari ini.

Awang Putrayusrie turut menyampaikan nada kecewa dengan keputusan penangguhan yang dibuat dan diumumkan oleh pihak penganjur pada saat-saat akhir sebelum pasukannya berangkat ke Bintangor, pagi ini.

“Agak terkilan dan sedikit kekecewaan, dikala pasukan terutamanya pengurusan dan pemain kita telah bersedia dari segala aspek, petang semalam (Jumaat) pihak kita telah diumumkan pasal penundaan perlawanan terbabit ke satu tarikh yang akan diumumkan kelak. Penganjur sekurang-kurangnya membuat pengumuman tiga hingga lima hari sebelum perlawanan dilangsungkan, bukan sehari atau dua hari sebelum perlawanan dilangsungkan,” ujarnya.

Beliau turut mengingatkan kepada semua pemain Sri Aman FA supaya meneruskan sesi latihan mereka seperti biasa mereka sepanjang bulan Ramadan ini sebelum pertandingan berlangsung semula pada selepas Hari Raya Aidilfitri nanti.