ARMADA Sarawak sambut baik GPS serahkan kebijaksanaan Agong, TYT bubar DUN

ANGKATAN Bersatu Anak Muda (ARMADA) Sarawak menyambut baik pengumuman kerajaan Negeri pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk menyerahkan kepada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud untuk memutuskan masa yang sesuai membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Menurut Unit Penerangan ARMADA Sarawak dalam satu kenyataan kepada media hari ini berkata, pihaknya menjunjung tinggi kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong dan Tuan Yang Terutama (TYT) Yang Di Pertua Negeri Sarawak, dimana sebarang keputusan yang bakal diputuskan pada masa hadapan adalah pertimbangan yang mengambil kira kepentingan rakyat Sarawak.

Perkara ini juga termaktub dalam Perkara 13 dan 15 Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021.

Dalam perkembangan lain, memandangkan kes COVID-19 yang menunjukkan angka sangat membimbangkan di Sarawak sejak kebelakangan ini, ARMADA Sarawak berharap usaha dapat terus digembeleng dan dipertingkatkan, terutama melibatkan kerjasama agensi kerajaan negeri dengan agensi persekutuan dalam mengawal COVID-19 dari terus merebak.

Sementara itu, rakyat diminta untuk terus patuh kepada SOP dan peraturan yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), serta memberikan kerjasama penuh kepada Jawatankuasa Bencana Negeri Sarawak (JBNS) bagi memastikan penularan COVID-19 dapat dikawal dengan lebih berkesan.

ARMADA Sarawak mengambil kesempatan ini juga untuk mengucapkan Selamat Hari Gawai Dayak 2021 kepada seluruh bangsa Dayak di Malaysia amnya dan Sarawak khususnya.