350 ahli PITSA Krian terima sumbangan makanan

SARATOK: Seramai 350 orang ahli Persatuan Ibu Tunggal Sarawak (PITSA) Cawangan Krian telah menerima sumbangan bantuan makanan bagi mengurangkan beban ahlinya disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Simbolik penyerahan telah disempurnakan Residen Bahagian Betong merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Betong, Friday Belik kepada Pengerusi PITSA Cawangan Krian, Nurul Farhana Abdullah.

Menurut Penasihat merangkap Penyelaras PITSA Saratok, Kaunselor Dayang Rosnah Abang Drashid menjelaskan bantuan bakul makanan ini adalah untuk meringankan beban golongan ibu tunggal yang terkesan akibat pelaksanaan PKP yang telah bermula sejak 29 Mei lalu.

Beliau berkata sumbangan keperluan asas seperti telur, beras, gula dan minyak masak itu sangat bermakna buat ahli PITSA bagi meneruskan kelangsungan hidup mereka.

“Semoga bantuan ini dapat meringankan beban ahli-ahli PITSA Cawangan Krian yang terjejas pada musim Covid-19 ini.

“Kebanyakkan mereka (ibu tunggal) tidak bekerja dan ada pula mereka baharu mula bekerja untuk mendapatkan pendapatan kembali,” katanya.

Dayang Rosnah berkata bagi pengagihan sumbangan makanan ahli PITSA Cawangan Kalaka, beliau telah berbincang dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Datuk Abdul Wahab Aziz untuk menghulurkan sumbangan golongan ahli terbabit.

“Saya telah berbincang dengan Datuk Abdul Wahab, dan beliau bersetuju untuk menyerahkan sumbangan kepada ahli PITSA Kalaka dalam masa terdekat,” ujarnya.

Sementara itu, PITSA yang telah ditubuhkan pada Ogos tahun lepas ditubuhkan adalah bagi membantu dan memperjuangkan nasib golongan ibu tunggal di kawasan terbabit.

“Penubuhan PITSA Cawangan Kalaka, Kabong dan Krian adalah bertujuan untuk membantu golongan wanita yang bergelar ibu tunggal agar mereka tidak rasa terpencil kerana status mereka. 

“Dengan tertubuhnya persatuan ini, golongan ibu tunggal mampu mengubah nasib diri dan keluarga terutama ibu tunggal yang menanggung anak kecil dalam bilangan yang ramai,” tegasnya.