Perjelaskan lebih terperinci lantikan tuai rumah dan ketua kampung di negeri ini – Alexander

SRI AMAN: Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Sarawak berpandangan Kerajaan Sarawak harus memperjelaskan dengan lebih terperinci kriteria pelantikan tuai rumah atau Ketua Kampung di negeri ini.

Ini berikutan, ada beberapa pihak yang sengaja mengembar-gemburkan isu pelantikan tuai rumah ini dijadikan modal politik mereka untuk memburuk-burukkan usaha Kerajaan Sarawak terutamanya dalam media sosial.

Ketua ARMADA Negeri Sarawak, Alexander Frusis berkata, perkara ini sedikit sebanyak mewujudkan ketidakharmonian di kalangan rakyat rumah panjang di ketika usaha Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan berada dilandasan yang amat baik.

“ARMADA Sarawak juga mencadangkan kepada Kerajaan Sarawak untuk mewujudkan satu sistem yang lebih effisen dalam tatacara perlantikan tuai rumah atau ketua kampung.

“Ini berikutan reaksi yang diterima oleh ARMADA Sarawak dari akar umbi mengenai sesetengah tuai rumah serta ketua kampung yang sudah lama berkhidmat namun tidak di iktiraf oleh Kerajaan Sarawak, walaupun mereka adalah dikalangan pilihan rakyat dirumah panjang yang mempunyai kriteria mencukupi dan berpengaruh dikalangan penduduk kampung,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Alexander berkata antara beberapa cadangan daripada ARMADA Sarawak yang difikirkan relevan dan bersesuaian supaya pentadbiran di rumah-rumah panjang lebih lancar, yang harus dimiliki oleh seseorang tuai rumah atau ketua kampung adalah ilmu kepimpinan, tahap pendidikan, mempunyai akhlak moral yang tinggi dan boleh menggunakan platform media sosial serta celik IT.

“Pada masa yang sama, ARMADA Sarawak berpendapat peranan Majlis Adat Istiadat Sarawak harus lebih diperluaskan dalam menghadapi cabaran di era digitalisasi masa kini.

“Serangan yang dilakukan oleh pengamal media sosial pro pembangkang juga harus ditangkis dengan lebih stratergik dan berhemah.

“Majlis Adat Istiadat Sarawak harus ditransformasikan sebagai sebuah agensi Kerajaan Sarawak yang bertanggungjawab untuk memberi penerangan yang lebih jelas tentang fungsi sesebuah organisasi di rumah panjang selain daripada menguatkuasakan ordinan tertentu apabila melibatkan isu adat tradisional etnik pribumi di Sarawak,” ujarnya lagi.

Jelas Alexander, perkara ini penting supaya rakyat atau individu dari luar Sarawak memahami sensitiviti adat pribumi rakyat Sarawak agar nilai adat tersebut boleh dipelihara dengan nilai yang tinggi.

“Akhir sekali, ARMADA Sarawak akan mengemukakan cadangan rasmi sekaligus menyampaikan masalah yang diterima oleh ARMADA Sarawak daripada rakyat akar umbi mengenai isu Tatacara Pelantikan Tuai Rumah atau Ketua Kampung kepada Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg,” tambah Alexander.