PEMULIH: Kesungguhan dan tanggungjawab kerajaan PN terhadap keperluan rakyat

Kami ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di atas keprihatinan beliau yang mendengar keluhan dan rintihan rakyat yang terjejas akibat pandemik Covid 19 dengan mengumumkan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) bernilai RM150 bilion.

Keprihatinan beliau ini jelas menunjukkan sikap kesungguhan dan tanggungjawab kerajaan Perikatan Nasional (PN) terhadap keperluan rakyat yang kehilangan pekerjaan, pendapatan serta ada yang operasi perniagaan terpaksa ditutup ekoran penularan wabak Covid-19.

Alhamdulilah, bagi kami, kerajaan telah mengambil serius pandangan daripada pelbagai pihak dalam membantu meringankan beban ekonomi rakyat dan sudah tentu pakej rangsangan yang amat komprehensif ini akan memberi manfaat kepada rakyat dan pelbagai sektor ekonomi terutama di Sarawak secara amnya serta
Malaysia.

Kami juga melihat usaha yang disalurkan kerajaan melalu inisiatif PEMULIH ini mendapati semua golongan rakyat Malaysia termasuk B40, M40 dan T20 tidak tercicir.

Antaranya pengumuman kemudahan moratorium selama enam bulan kepada semua peminjam dan pengeluaran simpanan KWSP secara bulanan adalah berita paling gembira kepada seluruh rakyat Malaysia kerana ia jelas membantu meringkan beban kewangan rakyat.

Oleh itu kami sarankan kepada pemilik rumah dan perniagaan, supaya ambillah peluang tersebut jika memerlukan dan berhemahlah dalam perbelanjaan dan pengurusan kewangan supaya mereka dapat menggunakan bantuan ini untuk urusan yang benar-benar perlu sahaja dan bukan untuk perkara tidak penting.

Selain itu inisiatif PEMULIH ini dilihat dapat memberi kesan signifikan dalam membantu meringan beban kewangan rakyat kerana beberapa inisiatif yang diperkenal antaranya untuk program pengukuhan pasaran buruh seperti Program Subsidi Upah 4.0, Bantuan Kehilangan Pekerjaan dan Elaun Mencari Pekerjaan adalah antara usaha kerajaan untuk membantu golongan pekerja dan majikan atau pemilik perniagaan.

Selain itu dengan inisiatif seperti kemudahan pengeluaran baharu daripada akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) iaitu i-Citra juga cukup signifikan dalam usaha membantu rakyat yang terhimpit sekarang ini.

Walaupun ada pihak membantah pengeluaran akaun KWSP ini seperti MTUC, namun ketegasan kerajaan yang berusaha menjadikan ini realiti perlu dipuji kerana ia membuktikan komitmen kerajaan yang amat fokus membantu rakyat.

Kerajaan juga berusaha menyalurkan bantuan sebanyak mungkin kepada rakyat antaranya seperti Bantuan Prihatin Rakyat (BPR), Bantuan Khas COVID-19 dan Bantuan Bakul Makanan demi memudahkan rakyat dalam menjalani kehidupan akibat bencana pandemik Covid 19 yang bernilai RM4.6 bilion di bawah PEMULIH.

Bantuan ini dijangka akan memberi manfaat kepada lebih 11 juta isi rumah, warga emas dan individu bujang dalam kategori B40 dan M40 di negara ini.

Menerusi inisiatif PEMULIH juga, isi rumah B40 akan menerima sebanyak RM500 daripada kerajaan pada Ogos dan RM300 pada Disember; individu bujang B40 akan menerima RM200 pada Ogos; isi rumah M40 menerima RM250 pada Ogos manakala individu bujang M40 akan menerima RM100 pada Ogos. Manakala bagi isi rumah yang dikategorikan sebagai miskin akan menerima bantuan sebanyak RM1,800.

Bagi golongan peniaga terutamanya Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), mereka turut mendapat sokongan secara langsung dan tak langsung melalui pelbagai bantuan yang terdapat dalam pakej PEMULIH.

Kami juga percaya bantuan terhadap PKS ini penting kerana mereka inilah nadi dan penjana penting kepada ekonomi negara dan pastinya mereka dapat menarik nafas lega dengan beberapa pendekatan yang diambil untuk membantu PKS termasuk mengurangkan kos tanggungan majikan, menyokong usaha digitalisasi, memberikan kemudahan bantuan kewangan dan insentif percukaian, menyediakan fasiliti pembiayaan dan meneruskan insentif penggajian.

Antaranya dengan langkah bayaran tambahan di bawah Geran Khas Prihatin (GKP) 4.0 serta Program Subsidi Upah (PSU) 4.0, ini dijangka dapat memanfaatkan lebih 2.5 juta pekerja di seluruh negara.

Sekali lagi ingin kami merakamkan jutaan terima kasih atas keprihatinan YAB Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Kerajaan Perikatan Nasional meringankan beban rakyat Malaysia khususnya buat rakyat Sarawak.

NOTA: Kenyataan media bersama Pengerusi Perikatan Nasional Sarawak, YB Senator Jaziri Alkaf A. Suffian, YB Datuk Ali Biju, Ahli Parlimen Saratok, YB Datuk Willie Mongin, Ahli Parlimen Puncak Borneo