PITSA terus tampil bantu golongan ibu tunggal

SARATOK: Prihatin dengan nasib golongan ibu tunggal yang kurang berkemampuan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Datuk Abdul Wahab Aziz telah tampil untuk membantu golongan terbabit dengan sumbangan bakul makanan kepada mereka.

Sebanyak 300 bakul makanan akan diagihkan kepada ahli Persatuan Ibu Tunggal (PITSA) Cawangan Kalaka yang berdaftar dan simbolik penyerahan telah dihadiri oleh Timbalan Pengerusi Majlis Daerah Saratok, Kaunselor Haji Mohamad Duri yang mewakili ADUN Kalaka kepada Pengerusi PITSA Cawangan Kalaka, Saadiah Harun.

Turut hadir menyaksikan penyerahan sumbangan tersebut ialah Pegawai Daerah Saratok, Harun Mahidi, Ahli Majlis Wanita dan Keluarga Sarawak, Wendy Terang dan Penasihat merangkap Penyelaras PITSA Saratok, Kaunselor Dayang Rosnah Abang Drashid.

Menurut Dayang Rosnah, agihan sumbangan kepada golongan ibu tunggal iaitu ahli-ahli PITSA terus dibantu, kali ini melibatkan golongan ibu tunggal yang berdaftar bagi Cawangan Kalaka.

“PITSA Cawangan Kalaka telah menyediakan 300 Bakul Makanan untuk diagihkan kepada golongan ibu tunggal yang berdaftar di DUN Kalaka. Ini bukanlah sumbangan pertama malah inisiatif berterusan pihak kami sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah bermula sejak 29 Mei lalu.

“Syukur Alhamdulillah….Ketiga-tiga ahli PITSA daripada cawangan Krian, Kalaka dan Kalaka telah dibantu, dan saya berharap dengan bantuan makanan ini dapat meringankan beban ahli-ahli PITSA yang terjejas pada musim Covid-19 ini,” katanya.

Dayang Rosnah turut menyatakan penghargaan terima kasih di atas sokongan Datuk Abdul Wahab Aziz (ADUN Kalaka) dan juga Kaunselor Haji Mohamad Duri dan PITSA Saratok kerana telah menjayakan program penyerahan sumbangan ini.

“Saya berharap ahli-ahli PITSA yang berdaftar di tiga cawangan iaitu Krian, Kabong dan Kalaka terus memberi kepercayaan dan sokongan kepada Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang dilihat bersungguh-sungguh membela nasib rakyat dan cukup prihatin kepada golongan yang memerlukan.

“Tidak terkecuali juga kepada golongan ibu-ibu tunggal yang telah merasai banyak bantuan dan sumbangan yang telah diberikan daripada Kerajaan Sarawak,” ujarnya.