ARMADA Sri Aman bantu 350 keluarga hilang pendapatan

SRI AMAN, 12 Julai: Program Prihatin Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Sri Aman telah berjaya membantu seramai 350 buah keluarga yang kehilangan pendapatan susulan Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) yang telah dilaksanakan.

Ketua ARMADA Negeri Sarawak, Alexander Frusis berkata Program Prihatin Armada Sri Aman ini telah dilancarkan pada bulan Mac sehingga Jun lalu dengan menyasarkan bantuan kepada golongan ibu tunggal, Orang Kurang Upaya (OKU) dan penduduk daripada Parlimen Sri Aman yang telah hilang pendapatan harian mereka.

“Program Prihatin ARMADA Sri Aman ini adalah cetusan idea daripada Ahli Jawatankuasa ARMADA Sri Aman sendiri.

“Sejak Mac sehingga Jun lalu, program ini telah berjaya membantu seramai 350 buah keluarga yang kehilangan pendapatan susulan PKP yang dilaksanakan oleh kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan kepada media hari ini.

Alexander berkata sumbangan tersebut adalah dalam bentuk bakul makanan yang terdiri daripada barangan keperluan asas.

“Melalui program ini juga, ARMADA Sri Aman telah dibantu dan bekerjasama dengan pelbagai pihak seperti pesara guru, syarikat persendirian dan badan pertubuhan bukan Kerajaan (NGO).

“Program ini juga disokong penuh oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta pimpinan tertinggi ARMADA Nasional dan Badan Pimpinan Negeri BERSATU Sarawak,” ujarnya.

ARMADA Sri Aman kata Alexander lagi mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan banyak-banyak terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan Program Prihatin ARMADA Sri Aman ini.

Selain itu, katanya Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) dan Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS 6.0) yang telah diumumkan oleh kedua-kedua Kerajaan Pusat dan Negeri adalah amat tepat pada waktunya diketika rakyat sedang menghadapi masa sukar akibat pandemik COVID-19 yang melanda negara malah dunia khususnya.

“Rata-rata yang kami temui, rakyat menyambut baik pakej bantuan yang telah diumumkan terutamanya melibatkan permohonan moratorium selama enam bulan dimana ia tanpa melalui karenah birokrasi yang banyak,” jelasnya.

ARMADA Sarawak tambah Alexander mengucapkan terima kasih kepada Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang juga Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang telah menyatakan sokongan kepada Kerajaan Perikatan Nasional dibawah pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin.

“ARMADA Sarawak bersetuju bahawa fokus kerajaan sekarang adalah menjayakan Pelan Pemulihan Negera (PPN) supaya negara boleh keluar daripada pandemik COVID-19.

“Dalam keadaan negara sedang menghadapi krisis Kesihatan dan Ekonomi, kebajikan rakyat adalah paling penting daripada percaturan parti-parti politik yang boleh menganggu urusan Pentadbiran Negara,” tegas Alexander.