PAK tampil bantu anak Kabong di perantauan

KUCHING — Persatuan Anak Kabong (PAK) telah tampil membantu seramai 70 orang dikalangan anak Kabong yang berada di bandaraya Kuching dan Kota Samarahan.

Pengerusinya, Semawi Mohamad berkata pihaknya amat bersimpati dengan kesempitan hidup yang ditempuhi terutamanya anak-anak Kabong yang berada di perantauan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang telah dilaksanakan sejak Mei lalu.

Justeru itu, PAK telah mengambil inisiatif mengumpul dana bagi tujuan untuk menyalurkan bantuan ihsan kepada anak-anak Kabong berada di perantauan yang dikhuatiri kehilangan pekerjaan serta pendapatan harian mereka.

“Syukur alhamdulillah dengan adanya sedikit dana daripada PAK hasil sumbangan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Mohd Chee Kadir dan juga sumbangan daripada ahli jawatankuasa PAK serta masyarakat Kabong yang prihatin, kami telah memperuntukkan sejumlah RM10,000 untuk tujuan bantuan ihsan ini.

“Seramai 70 orang penerima telah disenaraikan untuk menerima sumbangan wang tunai sebanyak RM100 sehingga RM150 setiap kepada setiap keluarga yang terjejas sekaligus dapat meringankan sedikit beban kehidupan yang ditanggung mereka semasa PKP 3.0 ini.

“Sekurang-kurangnya dengan bantuan sumbangan ini dapatlah meringankan beban kepada mereka yang terjejas pada musim Covid-19 ini,” katanya.

Semawi berkata inisiatif berkenaan adalah bertepatan dengan objektif penubuhan Persatuan Anak Kabong iaitu untuk membantu ahli persatuan khasnya dan anak-anak Kabong amnya semasa ditempuhi kesulitan selama berada di perantauan.

“Kami ahli jawatankuasa PAK ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih di atas keperihatinan dan sumbangan daripada ADUN Kabong, Mohd Chee Kadir serta individu lain yang telah sudi menyumbang dana dan wang ringgit bagi tujuan membantu anak-anak Kabong berada di perantauan yang terjejas akibat kesempitan hidup disebabkan kehilangan pendapatan serta pekerjaan mereka.

“Bantuan sedemikian amat penting bagi mereka demi kelangsungan hidup terutama mereka yang berkeluarga dan mempunyai tanggungan ramai,” tegasnya.

Semawi berharap akan lebih banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO), individu dan masyarakat yang mampu bersama-sama menyumbang kepada golongan kurang bernasib baik bagi menggalakkan aktiviti amal mereka.

Dalam pada itu, ahli jawatankuasa PAK telah turun padang bagi menyampaikan sumbangan kepada tiga penduduk Kabong yang berada di sekitar bandaraya Kuching yang telah terjejas pendapatan serta yang terlantar sakit. Turut bersama iaitu Setiausaha PAK, Haji Samasu Johari.