Liga Sepak Takraw Kenyalang Zon Sri Aman 23 Oktober ini

PERSATUAN Sepak Takraw Sarawak (PSS) dengan kerjasama Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) dan Persatuan Sepak Takraw Bahagian Sri Aman (PESTASA) akan menganjurkan Kejohanan Liga Sepak Takraw Kenyalang PSS-SSC 2021 (KSL) bagi Zon Sri Aman yang dijadualkan bermula pada 23 Oktober hingga November tahun ini.

Pengerusi Zon Sri Aman, Awang Putra Yusrie Awang Redzuan berkata kejohanan ini akan bermula dipertandingkan di seluruh peringkat bahagian di Sarawak dan dibahagikan kepada tujuh zon.

“Bagi Zon Sri Aman, kejohanan ini akan bermula pada 23 Oktober dan akan dilangsungkan setiap hari Sabtu dan Ahad sehinga bulan November nanti.

“Dua regu yang layak ke final peringkat zon nanti akan terpilih mewakili Zon Sri Aman untuk berentap bagi pusingan ‘Grand Finale’ yang akan berlangsung pada bulan Disember di bandaraya Kuching,” katanya kepada Utusan Sarawak semalam.

Awang Putra Yusrie berkata penyertaan KSL bagi Zon Sri Aman ini adalah terhad kepada 32 pasukan terawal yang mendaftar dan yuran penyertaan yang dikenakan ialah sebanyak RM150 manakala tarikh tutup penyertaan adalah pada 8 Oktober 2021.

“Penyertaan untuk ke kejohanan ini dibuka kepada semua pemain yang berumur 21 tahun ke atas dan borang penyertaan dan syarat-syarat kejohanan boleh diperolehi daripada urusetia PESTASA bermula daripada hari ini.

“Kami menjemput semua pasukan sepak takraw tempatan dan luar daerah ini untuk turut serta dalam kejohanan ini dan ia bertujuan mengasah bakat-bakat baharu dalam sukan sepak takraw,” ujarnya sambil menambah venue kejohanan belum dapat dipastikan lagi.

Kejohanan Liga Sepak Takraw Kenyalang PSS-SSC 2021 (KSL) bagi Zon Sri Aman menawarkan hadiah lumayan dengan sang juara membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM1,500, medal dan piala, naib juara RM1,000, medal dan piala, manakala tempat ketiga pula mendapat hadiah wang tunai RM500, piala dan medal.

Manakala bagi peringkat ‘Grand Finale’ di Kuching pada Disember ini pula beliau memberitahu, hadiah yang ditawarkan untuk Johan adalah sebanyak RM3,000, naib johan RM2,000 dan ketiga dan keempat RM1,000.

Jelasnya, adalah menjadi harapan dan sandaran penganjuran kejohanan ini mendapat sambutan bagi menyaksikan pertembungan jaguh-jaguh regu sepak takraw yang bakal berlangsung di Zon Sri Aman bermula pada 23 Oktober nanti.

Untuk pertanyaan lanjut bolehlah menghubungi urusetia iaitu Zaidil Ripin (013-5673629), Awang Mazelan Awang Majid (013-8316642) atau Rozlan Bolhassan di talian (016-8582006).