KSL 2021 platform terbaik cungkil bakat baharu sepak takraw Sri Aman

PENGANJURAN Liga Sepak Takraw Kenyalang (KSL) 2021 dilihat sebagai platform terbaik untuk mencungkil bakat baharu terdiri daripada pemain berusia 21 tahun ke atas terutamanya di bahagian Sri Aman.

Presiden Persatuan Sepak Takraw Bahagian Sri Aman (PESTASA), Awang Putra Yusrie Awang Redzuan berkata selain daripada mencungkil bakat-bakat baharu yang berpotensi dari peringkat akar umbi sekaligus digilap dan dilatih sebagai pemain pelapis dalam skuad negeri.

“Tahniah dan syabas kepada Presiden Persatuan Sepak Takraw Sarawak (PSS) yang diterajui oleh Tan Sri Abang Khalid Abang Marzuki serta barisan pengelola pimpinan Dato Ismail Saufi diatas usaha bersama pihak Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) dalam penganjuran KSL 2021 yang ditunggu-tunggu sekian lama oleh peminat sepak takraw di pelusok Sarawak.

“Saya berharap melalui penganjuran ini khasnya di Zon Sri Aman, ianya dapat mencungkil bakat-bakat baharu dikalangan pemain-pemain dari bahagian Sri Aman yang akan melangkah ke peringkat yang lebih tinggi selepas ini.

“Diharap penganjuran KSL 2021 akan dapat mencetus satu fenomena baharu terhadap sukan sepak takraw di Sarawak sekali gus memperlihatkan bermulanya era baharu terhadap pembangunan sukan itu selepas ini,” katanya kepada pemberita hari ini.

Justeru Awang Putra Yusrie yang juga merupakan Pengerusi kejohanan bagi Zon Sri Aman menjelaskan kejohanan yang julung kalinya dianjurkan oleh badan induk PSS dengan kerjasama SSC itu turut berperanan sebagai medan untuk pemain meneruskan kesinambungan bakat yang ada.

Beliau berharap kejohanan KSL 2021 bagi Zon Sri Aman yang akan bermula pada 23 Oktober itu nanti, akan mendapat sambutan yang hangat daripada regu-regu yang menyertainya nanti.

“Untuk Zon Sri Aman, kejohanan ini akan dilangsungkan pada setiap Sabtu dan Ahad bermula 23 Oktober sehingga November nanti.

“Penyertaan KSL bagi Zon Sri Aman ini adalah terhad kepada 32 pasukan terawal yang mendaftar dan yuran penyertaan yang dikenakan ialah sebanyak RM150 manakala tarikh tutup penyertaan adalah pada 8 Oktober 2021,” ujarnya.

Awang Putra Yusrie berkata dua regu yang layak ke final peringkat zon nanti akan terpilih mewakili Zon Sri Aman untuk berentap bagi pusingan ‘Grand Finale’ yang akan berlangsung pada bulan Disember di Bandaraya Kuching.

“Kami menjemput semua pasukan sepak takraw tempatan dan luar daerah ini untuk turut serta dalam kejohanan ini dan ia bertujuan mengasah bakat-bakat baharu dalam sukan sepak takraw,” tambahnya lagi.

KSL 2021 bagi Zon Sri Aman menawarkan hadiah lumayan dengan sang juara membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM1,500, medal dan piala, naib juara RM1,000, medal dan piala, manakala tempat ketiga pula mendapat hadiah wang tunai RM500, piala dan medal.

Untuk pertanyaan lanjut bolehlah menghubungi urusetia iaitu Zaidil Ripin (013-5673629), Awang Mazelan Awang Majid (013-8316642) atau Rozlan Bolhassan di talian (016-8582006).