Liga SSC-FAS disambung semula, 30 Oktober ini

SAINGAN Liga SSC-FAS 2021 yang tertangguh sejak Mei lalu, akan disambung semula pada 30 Oktober ini.

Ketua Bahagian Pembangunan Sukan Perbadanan Sukan Sarawak (SSC), Ahmad Rodzli Hashim berkata saingan yang bermula 30 Oktober ini melibatkan dua perlawanan yang tertangguh, seterusnya pusingan kedua akan dijalankan serentak pada 6 November nanti.

“Bagi aksi tertunda, dua perlawanan akan dilangsungkan pada 30 Oktober ini melibatkan pasukan Sibu FA menentang Sri Aman FA di Sibu, manakala pasukan Miri FA akan menentang Bintulu FA di Stadium Miri.

“Manakala pusingan kedua Liga SSC-FAS 2021 akan dijalankan secara serentak pada 6 November yang melibatkan tiga perlawanan di Zon Selatan, Zon Tengah dan Zon Utara Sarawak,” katanya.

Beliau yang mewakili Ketua Pegawai Eksekutif SSC, Dr Ong Kong Swee berkata demikian ketika mempengerusikan mesyuarat berkenaan penyambungan semula Liga SSC-FAS 2021 di Bilik Mesyuarat Lapang Sasar Menembak Petra Jaya, semalam.

Ahmad Rodzli berkata Liga SSC-FAS yang bermula saingannya sejak Mac lalu, ditunda penganjurannya pada Mei akibat peningkatan kes pandemik Covid-19 di negeri ini.

Namun begitu, pihaknya masih lagi menunggu penetapan garis panduan baharu berhubung penambahbaikan prosedur operasi standard (SOP) yang akan diguna pakai sepanjang liga itu kelak.

“Kita mahu semua pasukan bersiap sedia untuk memulakan kempen Liga SSC-FAS ini, terutamanya empat pasukan yang terlibat dalam aksi tertangguh 30 Oktober ini,” ujarnya.

Sementata itu, Ahmad Rodzli menjelaskan bahawa saingan Liga SSC-FAS 2021 peringkat Zon dijangka akan berakhir pada 20 November nanti, sebelum pusingan akhir (grand finale) akan dilangsungkan di Bintulu pada 4 Disember.

Terdahulu, Liga Bola Sepak SSC-FAS telah disertai sebanyak 11 buah pasukan bawah umur 25 tahun yang menyertainya.

Liga tersebut dibahagikan kepada tiga zon terdiri daripada 11 buah pasukan meliputi Zon Selatan iaitu Kuching City FC, Serian FA, Samarahan FA, Sarawak United ll FC (Piala Presiden), manakala Zon Tengah pula iaitu Sri Aman FA, Sarikei FA, Sibu FA dan Kapit FA dan bagi Zon Utara pula iaitu Mukah FA, Bintulu FA dan Miri FA.

Liga SSC-FAS ini dijalankan secara round-robin (timbal-balik). Juara dan Naib Juara bagi setiap kumpulan (Zon) akan layak ke pusingan seterusnya yang menempatkan sebanyak enam pasukan bagi dua pasukan terbaik setiap zon (Group of 6 team).

Group of 6 team akan diadakan secara karnival dan bahagian Bintulu telah dipilih sebagai tuan rumah bagi merebut gelaran kejuaraan Liga SSC/FAS yang dijangka berlangsung Disember nanti.

Turut hadir ialah Setiausaha Eksekutif FAS, Paza Dan, Pengarah Teknikal FAS, David Usop, Pegawai Pembangunan Pengadil FAS, Fitri John Wayne, Pegawai Pembangunan Bola Sepak SSC, Awang Fadillah, Pengurus pasukan SUFC II, Philip Jabu dan Pengurus pasukan SUFC II, Abdillah Majid.