24 regu berentap di Liga KSL 2021 Sri Aman

SEBANYAK 24 regu telah mengesahkan penyertaan ke Liga Sepak Takraw Kenyalang (KSL) 2021 bagi Zon Sri Aman yang bakal menyingkap tirainya pada 23 Oktober ini.

Presiden Persatuan Sepak Takraw Bahagian Sri Aman (PESTASA), Awang Putra Yusrie Awang Redzuan berkata kejohanan yang dianjurkan Persatuan Sepak Takraw Sarawak (PSS) dengan kerjasama Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) itu bakal menyajikan satu lagi persaingan sengit dan Mini Stadium Sri Aman akan menjadi medan utama pertandingan itu kelak.

“Liga Sepak Takraw Kenyalang (KSL) yang julung kalinya dianjurkan ini bakal mendapat sambutan luar biasa, dan saya yakin ramai pemain handalan serta pasukan sepak takraw bakal merebut hadiah lumayan yang ditawarkan serta piala berprestij untuk dibawa pulang,” jelasnya semasa mempengerusikan Mesyuarat Kerja PESTASA di Bilik Mesyuarat Kompleks Sukan Sri Aman hari ini.

Awang Putra Yusrie yang merupakan pengerusi kejohanan berkata untuk Zon Sri Aman, kejohanan ini akan dilangsungkan pada setiap Sabtu dan Ahad bermula 23 Oktober sehingga 21 November nanti.

“Dua regu yang layak ke final peringkat zon nanti akan terpilih mewakili Zon Sri Aman untuk berentap bagi pusingan ‘Grand Finale’ yang akan berlangsung pada bulan Disember di Bandaraya Kuching,” tegasnya.

Beliau turut berharap penganjuran Liga Sepak Takraw Kenyalang (KSL) PSS-SSC 2021 diharap menjadi sebagai platform terbaik untuk mencungkil bakat baharu terdiri daripada pemain berusia 21 tahun ke atas terutamanya di bahagian Sri Aman.

Selain daripada mencungkil bakat-bakat baharu yang berpotensi dari peringkat akar umbi sekaligus digilap dan dilatih sebagai pemain pelapis dalam skuad negeri.

KSL 2021 bagi Zon Sri Aman menawarkan hadiah lumayan dengan sang juara membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM1,500, medal dan piala, naib juara RM1,000, medal dan piala, manakala tempat ketiga pula mendapat hadiah wang tunai RM500, piala dan medal.

Turut hadir ialah Setiausaha Kehormat PESTASA, Awang Mazelan Awang Majid serta ahli jawatankuasa penganjur.