Ali Biju tanding sebagai calon bebas

PILIHANRAYA SARAWAK

SARATOK: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Krian, Datuk Ali Biju bertanding sebagai calon Bebas dalam usaha mempertahankan kerusi itu untuk penggal ketiga dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12.

Teka-teki sama ada Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli itu akan mempertahankan kerusi tersebut akhirnya terjawab apabila beliau hadir di Pusat Penamaan Calon (PPC) di Dewan Masyarakat Sri Krian di sini sebagai calon Bebas menggunakan logo kerusi.

Beliau yang juga ahli parti Bersatu hadir pada jam 9.02 pagi di dewan tersebut seterusnya menyempurnakan proses pencalonan.

Sementara itu, Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Krian, Bilong Engkas mengumumkan pertandingan di kerusi itu melibatkan tiga lagi calon iaitu Musa Dinggat daripada Parti Sarawak Bersatu (PSB), calon Parti Bumi Kenyalang (PBK) Danny Kuan dan calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Friday Belik.

Ali Biju semasa ditemui berkata keputusannya untuk bertanding semula bagi mempertahankan kerusi DUN Krian adalah di atas permintaan rakyat di DUN Krian.

Beliau berkata, keputusan yang dibuat itu adalah untuk menghormati sokongan dan permohonan rakyat di peringkat akar umbi yang mahu beliau terus bertanding mempertahankan kerusi ini yang telah dimenanginya sejak dua penggal yang lalu.

“Dalam PRN12 bagi DUN Krian ini, saya akan menggunakan tiket calon bebas dengan lambang ‘Kerusi’,” ujarnya.

Menjawab soalan media, berkaitan status dengan Parti Bersatu, Ali berkata, perkara tersebut akan dibincangkan kemudian dengan presiden Parti.

“DUN Krian ini unik, rakyat di sini lebih mengutama personaliti calon daripada parti yang diwakilinya,” tegas Ali lagi.