Calon DUN Lingga dekati golongan belia

PILIHANRAYA SARAWAK

SIMANGGANG: Gerak kerja mendekati golongan muda telah dilaksanakan sejak awal lagi dalam memberi pendedahan kepada mereka agenda yang dibawa Gabungan Parti Sarawak (GPS), kata calon wanita muda Dewan Undangan Negeri (DUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor.

Jelas beliau, bagaimanapun di peringkat kempen ianya terus dipertingkatkan berlandaskan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan.

“Saya sebagai calon muda telah melakukan pendekatan mendekati golongan belia sebelum ini, namun kali ini kita akan teruskan dan pergi ke ruang-ruang yang boleh mengikut kapasiti yang dibenarkan untuk berkempen, itu yang paling penting.

“Pendekatan melalui sosial media yang merupakan saluran penting juga boleh digunakan untuk sekurang-kurangnya memperkenalkan diri saya sebagai calon di DUN Lingga ini,” katanya semasa memberi sumbangan kepada Kelab Bola Sepak dan Bola Jaring kepada Pemuda Lingga, semalam.

Dayang Noorazah memberitahu, beliau mahu membawa pendekatan baharu terutama dari segi pendidikan untuk golongan berumur 21 tahun ke atas.

“Saya akan cuba untuk membawa pendekatan yang baharu terutama dari segi pendidikan untuk golongan berumur 21 tahun ke atas kerana kita semua tahu rata-rata mereka sekarang tidak dapat melanjutkan pelajaran disebabkan kekangan kewangan, itu perkara pertama yang saya akan lakukan.

“Untuk golongan belia yang berumur 29 tahun hingga 39 tahun, rata-rata mereka kehilangan pekerjaan. Jadi, itu perkara yang harus kita lakukan dahulu untuk membantu mereka,” ujarnya.

Dayang Noorazah menambah, beliau juga memfokuskan kepada pembangunan luar bandar kerana ia adalah keperluan untuk rakyat.

“Setelah saya meneliti di kawasan luar bandar rata-rata saya mendapat respon mereka masih memerlukan penambahbaikkan dari segi elektrik, air, pengangkutan (jalan raya) mereka masih mengalami masalah itu.

“Jadi, kita akan membuat pembangunan dari segi infarstruktur di seluruh kawasan Lingga. Itu yang penting kerana ia adalah satu keperluan. Keperluan itu perlu diutamakan,” ujarnya lagi.

Justeru beliau berharap para belia untuk tetap menyokong GPS bagi meneruskan lebih banyak pembangunan di kawasan-kawasan pedalaman.

“Saya berharap belia-belia bersatu hati dan membantu dengan memberikan kemenangan kepada kerajaan GPS untuk perbanyakkan lagi pembangunan untuk kawasan-kawasan pedalaman,” jelasnya.