Mempunyai rancangan masa depan yang bersifat jauh bangunkan Kabong

PILIHANRAYA SARAWAK

KABONG: Mohd Chee Kadir mempunyai rancangan masa depan yang bersifat jauh dalam usaha membangunkan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kabong.

Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi kerusi DUN Kabong berkata antara rancangan ini ialah menjadikan kawasan itu sebagai destinasi utama pelancongan yang terkenal di negeri Sarawak selepas ini.

“Usaha untuk menjadikan daerah Kabong sebagai ‘Bandar Pelancongan’ di negeri ini akan dapat direalisasikan tidak lama lagi.

“Justeru saya percaya apabila usaha ini berjaya dilaksanakan ia sekaligus dapat memberikan peluang pekerjaan kepada penduduk terutamanya belia-belia di kawasan DUN Kabong.

“Oleh itu saya berharap penduduk Kabong akan terus memberi mandat kepada saya untuk memimpin DUN Kabong dan terus menyokong GPS untuk kesinambungan pembangunan yang telah dirancang demi kesejahteraan rakyat di kawasan ini,” katanya.

Chee Kadir berkata Kabong mempunyai pantai yang menarik dan boleh dimajukan sebagai tempat riadah dan pusat peranginan untuk menarik pelancong luar dan dalam datang ke sini.

“Kita ambil contoh apabila Pantai Tanjung Kembang dibangunkan menjadi lokasi pelancongan utama, ia mampu membuka peluang pekerjaan seperti perkhidmatan inap desa, perhotelan, restoran, penjaja menjual hasil produk mereka dan sebagainya.

“Dengan terbangunnya kemudahan infrastruktur terutamanya di Pantai Tanjung Kembang ini, saya yakin ia bakal menjadi salah satu pusat peranginan yang sama taraf dengan pantai di daerah yang lain,” ujarnya.

Seperti kita maklum tambah Chee Kadir, daerah Kabong ini adalah merupakan sebuah perkampungan nelayan, jadi ia turut membantu penduduk menjana ekonomi mereka dengan pekerjaan menangkap ikan di laut dengan memasarkan ikan tersebut di jual sekitar daerah ini.

Chee Kadir berkata, GPS berjaya membuktikan bahawa segala janji bukan hanya omong kosong malah parti itu terus memberikan komitmen penuh untuk pembangunan dan kebajikan rakyat dan negeri Sarawak.

Selain itu ujarnya mandat wajar diberikan kepada GPS untuk terus memimpin Sarawak bagi merealisasikan hasrat menjadikan negeri Bumi Kenyalang sebagai negeri termaju menjelang 2030.

“Berilah peluang kepada GPS untuk menang dan diberi mandat bagi terus memimpin Sarawak, In Shaa Allah, saya yakin Sarawak boleh menjadi negeri termaju di Malaysia menjelang 2030,” tambahnya lagi.