Misi Cikgu Matt Pyan untuk DUN Lingga

PILIHANRAYA SARAWAK

CALON Bebas DUN Lingga, Mohd Sepian Abang Daud memiliki fokus dan misinya tersendiri dalam membawa suara rakyat di kawasan itu ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak jika diberi mandat oleh pengundi di kawasan itu.

Beliau yang merupakan anak jati Kampung Tengah Sri Aman itu bertanding dengan menggunakan logo Perahu berharap semua pengundi di N28 Lingga untuk mengundinya pada 18 Disember ini kelak.

“Saya adalah suara penduduk N28 Lingga dalam menyuara denyut nadi mereka (rakyat) untuk sama-sama merasai serta menikmati pembangunan kerajaan dari segi kesihatan, sosial, ekonomi dan pendidikan,” katanya.

Beliau yang lebih mesra dipanggil dengan nama Cikgu Matt Pyan itu mempunyai empat misi utama untuk bertanding sebagai calon bebas bagi merebut ‘kerusi panas’ DUN Lingga.

Antara misinya ialah ;

  1. Menyuarakan keperluan infrastruktur kesihatan kawasan DUN Lingga dipertingkatkan seperti menaik taraf klinik-klinik yang sedia ada.
  2. Menyuarakan keperluan infrastruktur sukan serta riadah agar dapat melahirkan warga sihat, negeri sihat serta negara sihat seperti membina padang sukan bola sepak, membaik pulih gelanggang tenis, futsal dan takraw.
  3. Menyuarakan keperluan infrastruktur pertanian dipertingkatkan dengan membaik pulih jalan pertanian, membina collection centre untuk memasarkan hasil pertanian dan memantau setiap skim pengairan dan saliran.
  4. Menyuarakan keperluan infrastruktur pendidikan teknikal dan akademik di kawasan Lingga dipertingkatkan seperti Kolej Komuniti, Universiti Kolej, Kolej Islam dan Kolej Swasta.

Mohd Sepian Abang Daud, 59, dari Kampung Tengah dekat Bandar Simanggang akan bertanding sebagai calon Bebas untuk merebut kerusi ‘panas’ berkenaan daripada lima calon lain.

Lima calon terbabit adalah Dayang Noorazah Awang Sohor dari Gabungan Parti Sarawak (GPS), Dato Wan Abdillah Edruce Abdul Rahman dari Parti Sarawak Bersatu (PSB), Abang Abdul Kassim Abang Bujang dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), Baha Imam dari Parti Bumi Kenyalang (PBK) dan Abang Ahmad Abang Suni dari Parti Sedar Sarawak (SEDAR).