PRN Sarawak: Abang Jo kecewa Ali Biju bertanding Bebas

PILIHANRAYA SARAWAK

KUCHING: Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengakui sedikit kecewa dengan tindakan Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Ali Biju yang melanggar persetujuan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk tidak bertanding pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) Sarawak.

Presiden PBB itu berkata Tan Sri Muhyiddin Yassin (Presiden Bersatu) sebelum ini telah menyatakan pendirian mereka untuk memberi laluan kepada GPS bagi memenangi pilihan raya dengan tidak meletakkan sebarang calon.

Katanya, GPS akan tunggu tindakan yang akan diambil Tan Sri Muhyiddin Yassin terhadap Ali Biju nanti.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pelancaran manifesto GPS di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), malam tadi.

Terdahulu, Ali Biju menyerahkan borang penamaan calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Krian untuk mempertahankan kerusi itu dengan bertanding atas tiket Bebas.