Tekad teruskan kesinambungan pembangunan DUN Lingga

PILIHANRAYA SARAWAK

SIMANGGANG: Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Dewan Undangan Negeri (DUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor bertekad untuk meneruskan kesinambungan perancangan serta pelaksanaan yang telah dilakukan oleh mantan wakil rakyat sebelum ini di kawasan berkenaan agar ianya memberi manfaat berterusan kepada penduduk setempat.

Beliau yang juga antara salah seorang muka baharu yang diketengahkan oleh Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 (PRN-12) Sarawak, 18 Disember depan berkata selain daripada kesinambungan tersebut, banyak lagi agenda serta perkara baharu yang akan dirancang untuk kelestarian pembangunan di DUN Lingga.

“Terima kasih kepada parti dibawah pimpinan Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang telah memberikan kepercayaan kepada saya untuk membawa amanah sebagai calon GPS pada PRN-12 Sarawak 18 Disember depan.

“Alhamdulillah…kita akan berusaha untuk memastikan perjuangan GPS dan PBB dapat diteruskan di DUN Lingga dan memberi sumbangan kepada pembentukan kerajaan negeri nanti sekiranya diberi mandat oleh rakyat pada PRN-12 nanti,” katanya.

Beliau seterusnya mengajak rakyat di DUN Lingga untuk bersama-sama dengannya bagi memastikan kerancakan pembangunan di kawasan tersebut dapat dijayakan sebaik mungkin kerana kawasan berkenaan mempunyai tarikan yang tersendiri.

“Kepada penduduk dan pengundi DUN Lingga, marilah bersama-sama untuk meneruskan kesinambungan yang telah dilakukan oleh wakil rakyat sebelum ini.

“Segala perancangan sebelum ini akan diteruskan dalam usaha memastikan DUN Lingga terus menikmati pembangunan yang sewajarnya dan rakyat terus dibela, insya-Allah,” ujarnya.

Sementara itu, kerusi DUN Lingga bakal menyaksikan pertandingan enam penjuru pada PRN-12 Sarawak.

GPS menampilkan muka baharu, Dayang Noorazah Awang Sohor untuk menggantikan penyandangnya, Dato Simoi Peri bagi mempertahankan DUN Lingga.

Lima calon lain adalah Abang Abdul Kassim Abang Bujang dari PKR, Dato Wan Abdillah Edruce Abdul Rahman, Parti Sarawak Bersatu (PSB), Baha Imam dari Parti Bumi Kenyalang (PBK), Abang Mohd Sepian Abang Daud, Parti Sedar Sarawak (SEDAR) dan Mohd Sepian Abang Daud, Bebas.

Sebagai rekod pada PRN Sarawak ke-11 tahun 2016 lalu, DUN Lingga menyaksikan saingan tiga penjuru antara Wan Abdillah (Bebas); Datuk Simoi Peri (Barisan Nasional); dan Abang Zulkifli Abang Engkeh (PKR).

Simoi menang dengan majoriti 2,943 mengalahkan Wan Abdillah dan Abang Zulkifli.