Berazam teruskan agenda pembangunan DUN Kalaka

PILIHANRAYA SARAWAK

SARATOK: Calon muka baharu Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kalaka, Mohamad Duri berazam untuk meneruskan agenda pembangunan di kawasan berkenaan sekiranya diberi mandat oleh pengundi dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 (PRN-12).

Beliau akan memastikan setiap pembangunan yang sedang dan akan dilaksanakan akan bakal memberi manfaat rakyat di kawasan situ.

Mengenai gerakan kempen PRN-12, beliau berkata, jentera parti akan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Jentera parti akan digerakkan dan mereka akan bergerak dalam kumpulan kecil,” katanya semasa menyantuni rakyat di sekitar DUN Kalaka dekat sini semalam.

Mohamad yang berusia 55 tahun itu berkata beliau begitu bersemangat untuk bertemu para pengundi di sekitar konstituensi itu bersama rombongan jentera Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Kalaka di sekitar pekan Saratok.

Ketika kunjungannya itu, jelas terpancar keceriaan di wajah apabila disambut mesra oleh penduduk sekitar yang turut minum di kedai kopi dan premis perniagaan tersebut.

Beliau turut berkesempatan berbual, beramah mesra serta berbincang mengenai perkara berhubung pembangunan yang menjadi hasrat penduduk selama ini.

Jelasnya, beliau akan terus turun padang mendampingi dan mendekati masyarakat khususnya di konstituensi itu bagi menerangkan perjuangan serta agenda pembangunan yang dibawakan GPS kepada rakyat di negeri ini, khasnya.

Beliau berkesempatan menyeru penduduk sekitar agar terus menyokong kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan sentiasa memberi semangat kepada beliau sendiri selaku calon GPS-PBB di konstituensi itu untuk terus berjuang dan menentukan hala tuju serta masa depan rakyat.

“Saya merayu berilah mandat serta kemenangan besar kepada GPS untuk terus menerajui negeri ini dan menyambung perjuangan untuk kita di Sarawak.

“Sokongan kuat kepada saya bererti anda memberi sokongan kuat kepada GPS-PBB,” jelasnya.