Beri saya peluang- Dayang Noorazah

PILIHANRAYA SARAWAK

CALON baharu Gabungan Parti Sarawak (GPS), Dayang Noorazah Awang Sohor optimis pemimpin wanita mampu bergerak seiringan dengan pemimpin lelaki jika diberi peluang.

Beliau, 33, calon tunggal wanita dari Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang baharu akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N28 Lingga itu yakin penerimaan rakyat Sarawak terhadap pemimpin wanita sekarang sudah terbuka dan disambut baik.

“Beri peluang kepada wanita, walaupun lelaki yang lebih diharapkan. Jika diberikan peluang, saya yakin pemimpin wanita juga boleh menyerlah, bak kata pepatah tak kenal maka tak cinta,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Sembang Politik PRN-12 bertajuk ‘PRN Sarawak: Harapan calon muda’ di studio Jiwa Bakti dan Utusan Sarawak, Samudra Hotel, Jalan Nanas di sini, semalam.

Tajuk itu dibincangkan bersama-sama calon baharu GPS bagi DUN N3 Tanjong Datu, Azizul Annuar Adenan dan moderatornya, Kadir Dikoh.

Walaupun Dayang mengakui perbezaan jantina sedikit sebanyak membatasi pergerakan untuk mendekati masyarakat, namun beliau yakin rakyat sekarang lebih matang untuk menerima keadaan ini.

Mengulas mengenai anak muda, Dayang mengakui berhadapan cabaran untuk membentuk semula perspektif mereka terhadap tempo pembangunan dan penerimaan terhadap GPS.

“Kita tahu anak muda lebih agresif, inginkan pembangunan serta-merta, dan itu menjadi cabaran saya untuk mendekati dan mendidik mereka mengenai proses pembangunan di negeri ini.

“Selain itu, saya turut khuatir dengan anasir yang tidak baik diperoleh daripada sosial media mempengaruhi penerimaan dan tindak tanduk mereka terhadap kerajaan,” jelasnya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut merancang untuk mengetengahkan idea
kreatif dan bernas yang telah disalurkan oleh golongan belia kepadanya untuk memajukan DUN Lingga nanti.

JIWA BAKTI