Rakyat DUN Engkilili masih dambakan lebih banyak pembangunan

PILIHANRAYA SARAWAK

ENGKILILI: Berbekalkan sumber kewangan yang kuat dan banyak, hanya Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang mampu membawa kemakmuran kepada penduduk Engkilili. 

Calon GPS bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Engkilili, Desmond Sateng Sanjan berkata GPS mengutamakan rakyat Sarawak dengan menyediakan pembangunan dan kemajuan terutamanya di luar bandar. 

“Rakyat di DUN Engkilili masih mendambakan lebih banyak lagi pembangunan dilaksanakan di kawasan itu.

“Oleh itu, pengundi di sini perlu bijak memilih sebuah parti yang dapat membawa dan meneruskan kestabilan, kemakmuran dan kegemilangan,” katanya kepada pemberita semalam.

Desmond menjelaskan GPS sudah membuktikan rekod cemerlangnya dalam membangunkan negeri Sarawak termasuk memajukan kawasan luar bandar.

Beliau berkata, usaha itu adalah demi meneruskan agenda pembangunan yang dipimpin oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Mengulas mengenai manifesto GPS yang dilancarkan Pengerusinya Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Desmond menegaskan di bawah kerajaan GPS sejak ditubuhkan sehingga DUN dibubarkan, Sarawak satu-satunya negeri yang paling stabil. 

“Kita tidak pernah melihat sebuah kerajaan ditumbangkan di pertengahan pemerintahannya. Dengan wakil rakyat (GPS) majoriti yang besar di DUN nanti sudah tentu negeri ini akan stabil. 

“Saya juga percaya bahawa Sarawak akan menjadi gemilang di bawah kepimpinan Ketua Menteri Sarawak (Abang Johari). Kegemilangan hanya akan tercapai bila adanya kestabilan dan kemakmuran,” ujarnya. 

Sementara itu, Desmond dicabar tiga calon dari parti lawan, terutamanya calon penyandang dari Parti Sarawak Bersatu (PSB), Dr. Johnical Rayong Anak Ngipa, Stel Anak Datu (Parti Bersatu Kenyalang) dan Gemong Batu (Bebas).

Dalam PRN-11 (2016) Sarawak lepas, DUN N.33 Engkelili telah dimenangi oleh Dr Johnical Rayong Ngipa yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) pada masa itu dengan mendapat 3,857 majoriti undi.