Jentera PBB digesa kerja keras pastikan kemenangan GPS

PILIHANRAYA SARAWAK

SARATOK: Jentera Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kalaka digesa agar bekerja dengan lebih gigih untuk memastikan kemenangan Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12 ini dengan majoriti yang lebih besar.

Calon GPS DUN Kalaka, Haji Mohamad Duri, 55, berkata seperti sebelum ini, DUN Kalaka sentiasa membawa kemenangan kepada PBB.

“Cara kempen kita pada kali ini agak sedikit berbeza daripada sebelum ini, jika sebelum ini kita mengadakan kempen secara terbuka serta berkumpul di satu tempat.

“Namun untuk kali ini, kita tidak lagi dibenarkan berkumpul, medium kita hanyalah dengan media sosial, seperti Facebook, Whatsapp dan sebagainya.

“Oleh itu, saya berharap kerjasama semua untuk memainkan peranan masing-masing sepanjang tempoh kita berkempen menggunakan sepenuhnya media sosial,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan kunjungan di Rumah Anau Entebu dan Rumah Lakon Entebu dekat sini semalam.

Mohamad turut menyeru sokongan yang tidak berbelah bagi masyarakat di kawasan itu terhadap kerajaan GPS dan PBB pada PRN-12 nanti.

Katanya, di bawah kepimpinan yang ada sekarang, kawasan Kalaka banyak mendapatkan manfaat, banyak projek-projek diteruskan lebih-lebih lagi apabila Kerajaan GPS memperkenalkan istilah projek rakyat yang dapat manfaatkan kawasan kita.

“GPS di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg adalah pilihan terbaik untuk rakyat Sarawak.

“GPS sentiasa mengutamakan keperluan rakyat yang mana keprihatinan kerajaan diterjemahkan melalui pelbagai pelan pembangunan,” ujarnya.

Malah menurut Mohamad lagi, GPS juga sentiasa memenuhi janji dengan mengutamakan hak Sarawak sama seperti motto ‘Sarawak First’.

“Melihat kepada apa yang telah dilaksanakan Kerajaan Sarawak sehingga kini, tiada sebab untuk rakyat tidak menyokong GPS khususnya pada pilihan raya yang akan datang,” tegasnya.