Dasar dan agenda pembangunan GPS tersusun dan teratur

PILIHANRAYA SARAWAK

SARATOK: Gabungan Parti Sarawak (GPS) mempunyai dasar dan agenda pembangunan tersusun serta teratur yang akan membawa perubahan ketara kepada tahap sosio-ekonomi rakyat pada keseluruhannya, khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kalaka.

Calon GPS DUN Kalaka, Mohamad Duri berkata, banyak program-program pembangunan tersebut masih dilaksanakan pada masa kini.

Ia menurutnya, akan terus dilaksanakan untuk faedah kawasan Kalaka dan juga untuk seluruh Sarawak pada amnya.

“Sehubungan itu, GPS akan terus memberi keyakinan kepada para penduduk khususnya para pengundi di kawasan Kalaka untuk meneruskan dasar dan agenda pembangunan terutama sekali di kawasan tersebut,” ujar semasa melakukan kunjungan penduduk di sekitar DUN Kalaka hari ini.

Tambah Mohamad, rakyat sendiri dapat menyaksikan banyak projek-projek besar yang sedang berjalan di kawasan Kalaka pada masa kini. 

Justeru, beliau berharap rakyat Sarawak secara amnya dan pengundi kawasan Kalaka khususnya, dapat menilai dasar dan agenda GPS berdasarkan rekod kerja parti tersebut selama ini.

“Kita juga dapat menyaksikan bagaimana Kalaka telah berubah dengan ketara pada hari ini jika dibandingkan dengan Kalaka di suatu ketika dahulu. 

“Ini merupakan salah satu daripada bukti jelas bahawa perjuangan GPS adalah untuk rakyat dan kawasan Kalaka,” ujar Mohamad yang meyakinkan para penduduk bahawa inilah perjuangan masa depan rakyat bersama-sama dengan GPS pada hari ini.

Dalam pada itu, kata Mohamad manifesto GPS yang dilancarkan pada Rabu lalu, menggambarkan keseriusan dan komitmen gabungan politik itu dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12.

Beliau berkata, Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, yang juga Ketua Menteri Sarawak, yakin dapat memenuhi janji-janji dalam manifesto itu sekiranya gabungan politik tersebut memenangi pilihan raya pada 18 Disember ini.