Tindakan Ali Biju menarik diri sebagai calon disifatkan satu langkah berjiwa besar

PILIHANRAYA SARAWAK

Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sarawak melihat keputusan yang diambil oleh YB Datuk Ali Biju menarik diri dari menawarkan diri sebagai calon ADUN N.39 Krian dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-12 Sarawak baru-baru ini merupakan satu keputusan yang sukar setelah bertungkus lumus bekerja sehingga menjadi wakil rakyat yang dipilih di DUN tersebut selama dua penggal semenjak PRN-10 (2011) dan PRN-11 (2016).

Pada masa yang sama kita berharap penyokong parti menghormati pendirian yang diambil oleh YB Datuk Ali Biju semata-mata demi kepentingan parti dan menghormati persefahaman yang telah dicapai antara Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Bin Tun Datuk Abang Haji Openg selaku Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) sebelum ini.

Keputusan berjiwa besar yang diambil YB Datuk Ali Biju selaras dengan persefahaman kerangka besar politik nasional yang telah disepakati di antara BERSATU dan GPS dimana kestabilan politik, agenda pemulihan ekonomi dan pembangunan negara, serta kebajikan rakyat dapat terus dipacu melalui pengukuhan hubungan antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan.

ARMADA Sarawak meminta penyokong dan ahli-ahli BERSATU Sarawak untuk kekal teguh berdiri menyokong kepimpinan YB Senator Jaziri Alkaf Abdillah Suffian selaku Ketua Badan Pimpinan BERSATU Negeri dan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Presiden BERSATU. Keutamaan sekarang adalah untuk BERSATU membantu GPS dalam memenangi PRN dengan cemerlang dan seterusnya mempersiapkan gerak kerja parti untuk menghadapi Pilihanraya Umum ke-15 di Bumi Kenyalang ini.

Sekian, Terima Kasih.

𝗔𝗺𝗶𝗿𝗿𝘂𝗹 𝗝𝗲𝗳𝗳𝗲𝗿𝘆 𝗜𝗴𝗮𝗶
Ketua Penerangan ARMADA Sarawak