Beri saya peluang berkhidmat untuk rakyat DUN Lingga

PILIHANRAYA SARAWAK

SIMANGGANG: Gabungan Parti Sarawak (GPS) sentiasa turun padang mendekati rakyat menerusi pelbagai pendekatan tanpa mengira waktu dan masa menyelami masalah rakyat.

Calon termuda GPS Dewan Undangan Negeri (DUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor berkata usaha tersebut adalah untuk mendalami dan mengetahui keperluan serta masalah dihadapi rakyat.

“Usaha dilaksanakan GPS tanpa mengira waktu dan sentiasa turun padang bertemu rakyat dengan matlamat mengetahui masalah dihadapi rakyat peringkat akar umbi,” katanya semasa melakukan tinjauan persediaan ranting-ranting Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di sekitar DUN Lingga semalam.

Dayang Noorazah berkata salah satu faktor kekuatan dan tunjang utama PBB sebagai sebuah parti yang bertahan lama kerana peranan dan sumbangan golongan wanita.

Katanya berdasarkan rekod parti sejak penubuhannya, golongan wanita yang banyak membantu parti bertahan sekali gus membantu parti memenangi setiap pilihan raya.

“Oleh itu berilah peluang untuk saya berkhidmat kepada masyarakat di DUN Lingga ini, saya mungkin tak janjikan bulan dan bintang, tapi saya janjikan akan memberi perkhidmatan kepada rakyat jika diberi mandat selepas ini,” ujarnya.

Sehubungan itu, katanya beliau berharap agar pengundi menjalankan tanggungjawab mereka untuk turun mengundi dan memberi sokongan kepada calon dan parti yang sentiasa bekerja keras.

Terdahulu, penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lingga, Datuk Simoi Peri begitu ligat membantu kempen Dayang Noorazah Awang Sohor bagi memastikan kawasan itu terus dikuasai GPS.