Haji Mohamad Duri bukan nama asing lagi di DUN Kalaka

PILIHANRAYA SARAWAK

SARATOK: Haji Mohamad Duri, 55, bukan asing lagi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kalaka.

Beliau yang telah berjuang lebih belasan tahun bergiat dalam politik di kawasan terbabit dianggap calon paling tepat oleh banyak pihak bagi menggantikan wakil rakyat sebelum ini, Datuk Abdul Wahab Aziz.

Dengan sikap rendah diri dan sentiasa mahu mendengar, banyak bergaul dengan masyarakat pelbagai kaum serta membantu masyarakat di kawasan ini sejak 14 belas tahun lalu, Haji Mohamad Duri bakal mengisi ‘kasut besar’ yang ditinggalkan oleh Abdul Wahab.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik, Mohamad berasal dari Kampung Tanjung Hilir, Saratok itu turut berazam memberi perhatian kepada pendidikan belia di kawasan berkenaan.

Mohamad yang merupakan ayam tambatan Gabungan Parti Sarawak (GPS) amat menghargai peluang yang diberikan untuk mewakili parti itu menyatakan pasukannya mahu menumpukan perhatianĀ kepada pembangunan modal insan yang dianggapnya penting bagi memacu kemajuan negeri dan negara.

Jelas Timbalan Ketua Bahagian Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Kalaka itu, elemen berkenaan sangat penting untuk memacu Sarawak menuju 2030.

“Saya juga mahu meneruskan perkhidmatan cemerlang yang ditinggalkan wakil rakyat terdahulu, Datuk Abdul Wahab Aziz dapat diteruskan oleh pasukan saya,” jelasnya.

Abdul Wahab yang telah mewakili DUN Kalaka sejak 1991 mengambil keputusan berehat daripada arena politik sekali gus tidak akan mempertahankan kerusi yang disandangnya sejak enam penggal.

Abdul Wahab menjelaskan keputusannya untuk bersara adalah kerana faktor usia, selain mahu memberi peluang kepada pemimpin muda membangunkan Kalaka dan rakyat di DUN tersebut.

Sepanjang enam penggal menyandang kerusi DUN Kalaka, Abdul Wahab pernah berada dalam Kabinet Sarawak. Beliau pernah memegang jawatan Menteri Muda Kemajuan Luar Bandar pada 2010-2013.

“Oleh itu, kami akan meneruskan kerja secara berpasukan dan memperjuangkan apa-apa keperluan di kawasan ini.

“Saya tetap berterima kasih kerana diberikan kepercayaan untuk menggalas tanggungjawab ini, dengan kemenangan besar GPS nanti akan merancakkan lagi pembangunan di kawasan DUN Kalaka ini.

“InsyaAllah, kita akan bekerja keras,” tegasnya.

Kerusi DUN Kalaka pada Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 (PRN12) ini akan menyaksikan pertembungan tiga penjuru apabila beliau ditentang calon Parti Sarawak Bersatu (PSB), John Antau Linggang dan Parti Bumi Kenyalang (PBK), Linang Chapum.

Dalam PRN11 tahun 2016 lalu, Datuk Abdul Wahab Aziz berjaya menewaskan calon daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), Jemat Panjang dengan majoriti sebanyak 2,835 undi.

Haji Mohamad Duri berharap dapat meneruskan perjuangan dan legasi Abdul Wahab itu, yakin rakyat dapat menilai khidmat telah diberikan selama ini.

“Mereka dapat menilai yang mana intan dan yang mana permata,” tambah Haji Mohamad Duri.