Pastikan kemenangan kekal berpihak kepada GPS

PILIHANRAYA SARAWAK

KABONG: Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kabong, Mohd Chee Kadir menyeru masyarakat di kawasan tersebut untuk menunaikan tanggungjawab pada hari mengundi, 18 Disember nanti.

Menurutnya, ia penting bagi memastikan kemenangan kekal berpihak kepada GPS, sekali gus meneruskan mandat untuk meneruskan agenda pembangunan selepas ini.

“Keperihatinan anda sebagai pengundi dalam menunaikan tanggungjawab amat dituntut.

“Kita mahu memastikan kemenangan terus kekal milik GPS agar pembangunan dapat diteruskan,” ujar Chee Kadir.

Beliau berkata demikian ketika menyantuni penduduk di sekitar kawasan rumah panjang DUN Kabong hari ini.

Menurut Chee Kadir, beliau yakin pengundi di kawasan terbabit semakin matang dalam membuat pemilihan.

Justeru katanya, sudah tentu mereka mengetahui hanya calon GPS sahaja mampu meneruskan agenda pembangunan yang dilaksana pihak kerajaan selama ini.

“Jangan takut untuk memilih calon yang kita rasa betul dan apa yang penting ialah manifesto yang baik disediakan untuk rakyat,” ujarnya.

Tambah Chee Kadir lagi, bagi pilihan raya kali ini, penentuan berada di tangan rakyat sendiri untuk meneruskan pembangunan serta kebajikan terus dijaga.