Pengasas parti pembangkang rayu pengundi pangkah GPS

PILIHANRAYA SARAWAK

SATU lagi kejutan berlaku di Dewan Undangan Negeri (DUN) Dudong menjelang Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 (PRN-12), 18 Disember ini apabila bekas wakil rakyat kawasan itu, Datuk Tiong Thai King, tampil meminta pengundi menyokong calon Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Thai King yang juga antara pengasas Parti Sarawak Bersatu (PSB), dalam satu kenyataan merayu pengundi memilih calon GPS untuk memastikan pembangunan berterusan di kawasan itu.

Beliau yang tidak dicalonkan semula oleh PSB pada PRN-12 berkata, banyak pelan pembangunan untuk kawasan Dudong yang dirancang sebelum ini terpaksa dihentikan kerana kekurangan dana.

Malah, beliau mendakwa mengeluarkan wang sendiri untuk membantu pengundi di kawasan itu, namun belum mencukupi.

Justeru, beliau yang juga bekas Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS) meminta penyokong mengundi calon GPS di Dudong bagi menjamin masa depan lebih baik.

Susulan kenyataan Thai King itu, Sekretariat PSB hari ini turut mengeluarkan kenyataan bagi menjelaskan perkembangan terbaharu membabitkan parti pembangkang tempatan Sarawak itu.

Menurut kenyataan itu, Thai King sudah meletak jawatan dan keluar dari PSB menerusi surat bertarikh 1 Disember lalu.

Keputusan itu dikatakan diambil susulan pelantikannya untuk menerajui syarikat keluarganya, Kumpulan Rimbunan Hijau susulan kematian anak saudaranya yang juga pengarah urusan syarikat itu, Datuk Tiong Chiong Hoo.

“Sepanjang bersama PSB, beliau sangat dihormati kerana beliau banyak memberi sokongan kepada parti.

“Beliau tidak pernah meluahkan ketidakselesaan ketika PSB mengambil keputusan meninggalkan kerajaan dan menjadi parti pembangkang di Sarawak,” kata kenyataan Sekretariat PSB itu.

Menurut kenyataan itu lagi, PSB memahami perubahan kecenderungan politik Thai King kerana mempunyai tanggungjawab besar sebagai pemimpin konglomerat yang memiliki pelaburan besar serta ramai pekerja.

“Sebagai konglomerat (Kumpulan Rimbunan Hijau) pastinya memerlukan kerjasama kerajaan untuk terus berfungsi dengan lancar,” katanya. – BH